Categories
SELANGOR

Selangor berterusan perangi Aedes

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 18 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memerangi wabak denggi yang dilaporkan berlaku dengan kadar tinggi di seluruh Selangor sejak awal tahun ini.

Pelbagai usaha dilaksanakan bagi tujuan itu dan antara langkah terbaharu dirancang Kerajaan Negeri adalah program mega Selangorku Bebas Aedes yang dijangka bakal dilangsung akhir September ini.

MPK Fogging Jln Kg. Jawa (3)Pendekatan berterusan pula membabitkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri menjalin kerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Daerah selain pelbagai pihak lain berkaitan dalam usaha pemantauan dan pencegahan wabak berkenaan.

Difahamkan mesyuarat mingguan dijalankan antara PBT dan pihak berkuasa berkaitan bagi membincangkan maklum balas terbaharu dan tindakan lanjut dalam usaha membanterasnya.

PBT sentiasa menjalankan aktiviti pembersihan dan pungutan sampah di kawasan masing-masing selain program penerangan dan pengedaran risalah kepada masyarakat dari masa ke masa.

Kerja-kerja ‘fogging’ secara berterusan turut dilaksanakan di kawasan ‘hotspot’.

Orang ramai diminta memberikan kerjasama seperti membuang sampah di tempat disediakan, menjaga kebersihan premis kediaman dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sendiri menubuhkan 17 pasukan ‘task force’ bagi memerangi wabak denggi di kawasan pentadbirannya.

“Pasukan ini akan pergi ke kawasan sasaran untuk menjalankan kerja pemantauan dan pencegahan. MBSA tidak akan berkompromi dalam isu denggi ini,” kata Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga menjalankan pencegahan dan pemantauan berterusan di kawasan ‘hotspot’ supaya ia dapat dikawal dengan berkesan.

“Tindakan lain ialah mewujudkan pasukan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di setiap zon ahlimajlis MPS bagi memudahkan pelaksanaan program basmi denggi digerakkan.

“Dari masa ke masa MPS membuat semburan kabus pada waktu pagi sebagai langkah pencegahan selain pemeriksaan pembiakan Aedes secara berjadual di lokaliti ‘hotspot’,” kata Pegawai Perhubungan Awamnya, Ahmad Fauzi Ishak.

MPK Fogging Jln Kg. Jawa (7)Sehingga 13 September lalu, sebanyak 35,928 kes denggi dilaporkan berlaku di seluruh Selangor berdasarkan petikan daripada laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri Selangor : http://www.jknselangor.moh.gov.my

Daripada jumlah itu, 15,649 kes direkodkan berlaku di daerah Petaling diikuti Hulu Langat (7,745), Klang (5,544), Gombak (5,201), Hulu Selangor (582), Kuala Langat (468), Kuala Selangor (394), Sepang (222) dan Sabak Bernam (123).

Manakala 52 kes kematian dicatatkan dalam tempoh sama dengan Petaling sebanyak 16 kes, Klang (12), Hulu Langat (11), Gombak (10), Hulu Selangor (dua) dan Kuala Selangor (satu).

Sementara itu, 65,672 kes denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sehingga 23 Ogos lalu iaitu peningkatan 263 peratus atau 47,573 kes berbanding 18,099 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ia mencatatkan kumulatif kematian sebanyak 128 iaitu meningkat 93 kematian atau 266 peratus berbanding 35 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.