Categories
SELANGOR

Sultan dan MB saksikan Teater Supermokh

KUALA LUMPUR 10 SEPT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Malam Gala Teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging di Istana Budaya, Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Sultan Selangor yang merupakan penaung teater itu turut mencemar duli menikmati jamuan ramuan ringan bersama tetamu kehormat lain antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada pertengahan pementasan itu.

supermokh1Teater Supermokh Sebuah Muzikal pernah dipentaskan pada November tahun lalu.

Tiket berharga dari RM38 hingga RM246 untuk pementasan yang akan berakhir pada 21 September.

Supermokh The Muzikal memaparkan kisah hidup Mokhtar yang dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 kerana menghidap penyakit Motor Neuron Disease.

Kehebatan Allahyarham menjaringkan sebanyak 125 gol untuk Malaysia di peringkat antarabangsa dan 177 gol buat Selangor membolehkan beliau diberi gelaran istimewa iaitu Supermokh.

Supermokh Sebuah Muzikal Restaging berkisar tentang persahabatan, kesetiaan dan kasih sayang Mokhtar kepada isterinya, pasukan Selangor dan negara serta peminat-peminatnya walaupun digambarkan sebagai seorang lelaki yang pendiam.

PAntara kisah hidup Mokhtar yang menarik dipentaskan dalam teater itu apabila membongkar rahsia kenapa beliau berhenti bermain bola untuk Selangor dan Malaysia selama dua tahun sebelum kembali semula beraksi di atas padang.

Teater muzikal arahan bersama Hans Isaac dan Harith Iskander itu membariskan artis terkenal seperti Awie, Maya Karin, Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir dan Radhi Khalid.

Turut menyaksikan persembahan berdurasi dua jam 10 minit itu ialah isteri Allahyarham Mokhtar, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, bekas pemain bola sepak negara serta atlet seperti ratu skuasy Datuk Nicol David.

Tiket-tiket teater tersebut yang berharga antara RM38 hingga RM246 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.biz atau di kaunter tiket Istana Budaya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.