Oleh: SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 10 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) harus memperketatkan kerja pemeriksaan dan penguatkuasaan pencemaran sungai di sepanjang Sungai Langat.
Ia kerana terdapat beberapa kilang disyaki melakukan aktiviti pencemaran sungai menjadi penyebab pencemaran sumber air mentah.
ADUN Balakong, Ng Tien Chee berkata, perkara ini dimaklumkan Syabas Wilayah Hulu Langat bahawa paras ammonia air mentah di ‘intake point’ Sungai Langat mencecah 3.50 ppm dan 1.52 ppm bagi air terawat.
Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11 Cheras terpaksa dihentikan operasinya pada pukul 11.30 pagi, 9 September akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Langat.
“Pihak pengusaha LRA Batu 11 Cheras harus memberi penjelasan kepada semua lapisan masyarakat mengenai tindakan diambil.
“Mereka harus menangani masalah ini lebih awal dan ia tidak sepatutnya berulang kerana isu ini bukan isu baru,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menyeru supaya pihak berkenaan merancangkan pelan komprehensif untuk mengatasi permasalahan ini agar aktiviti harian pengguna air tidak terjejas akibat penutupan LRA.
“Penutupan LRA ini menyebabkan kawasan perumahan di sepanjang Jalan Balakong dari Pekan Batu 11 Cheras sehingga ke Taman Impian Ehsan dan Kampung Baru Balakong menghadapi gangguan bekalan air tidak terjadual.
“Jangka masa pemulihan bekalan tertakluk kepada tahap penurunan paras ammonia,” katanya.
EZY