Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 ingatkan SPR jangan jadikan persempadanan semula teka-teki

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OKT: Persempadanan semula kawasan pilhan raya hendaklah dijalankan dengan telus dan diumumkan lebih awal bilakah persempadanan itu akan dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, hal ini berikutan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya sangat berkait rapat dengan kepentingan awam negara ini.

PC Bersih (3)“Kini lebih setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13, SPR masih belum menyatakan bila ia akan memulakan persempadanan semula dan ini suatu perkara yang mempunyai kepentingan awam yang dijadikan teka-teki sama seperti PRU. Ini menimbulkan kesulitan besar kepada rakyat,” kata Maria Chin dalam sidang media yang diadakan di pejabat Komas, di sini, pagi tadi.

Jelas beliau, langkah mengumumkan persempadanan lebih awal dapat memberi lebih banyak ruang kepada parti-parti politik dan badan pemantau mengkaji peta baru persempadanan semula.

Ujar Maria Chin lagi, sebelum ini parti politik bertanding dalam pilihan raya dan badan pemantau tidak diberi ruang secukupnya untuk meneliti dan membuat bantahan setiap kali persempadan diadakan.

Maria Chin menambah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah menjalankan persempadanan semula dengan mematuhi keperluan perlembagaan yang menuntut semua kawasan pilihan raya bersaiz ‘lebih kurang sama’ yang dipandu asas ‘satu orang, satu undi, satu nilai.

SPR juga perlu menyatakan saiz purata kawasan pilihan raya bagi setiap negeri, faktor yang membezakan kawasan pilihan raya yang terkecil dan terbesar, jangka masa keseluruhan proses, pematuhan proses demokrasi dengan mengadakan rundingan awam dan proses pindaan Perkara 46 di Parlimen sekiranya melibatkan peningkatan jumlah kerusi.

“Adakah persempadanan semula diadakan berdasarkan etnik yang direka untuk memihak kepada parti pemerintah sebagaimana yang berlaku pada masa lalu menurut seorang bekas pengerusi SPR sebelum ini,” kata Maria Chin lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.