Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0: Malaysia perlu MP berkualiti, bukan ramai tetapi bermasalah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa meningkatkan ketelusan persempadanan semula dan perjalanan pilihan raya bagi membolehkan para pengundi memilih pemimpin yang berkualiti sebagai wakil rakyat mereka.

Ini berikutan, sesetengah Ahli Parlimen sedia ada didapati tidak memiliki kualiti yang diperlukan ketika berbahas di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, keadaan ini hanya membazir lebih banyak masa perjalanan persidangan Dewan Rakyat.

PC Bersih (3)“Kami dah buat kajian, masa terhad untuk berdebat di Parlimen dimana setiap Ahli Parlimen hanya ada masa dua jam lebih sahaja bagi satu tahun dan sebab itu kita perlukan Ahli Parlimen yang berkualiti untuk perbaiki soalan, jawapan dan berbahas di Parlimen.

“Lebih ramai Ahli Parlimen, lebih banyak masalah. Proses untuk pilih Ahli Parlimen sangat penting untuk lahirkan Ahli Parlimen berkualiti,” kata Maria di satu sidang media yang diadakan di pejabat Pusat Komas, pagi tadi.

Jelas beliau lagi, peningkatan jumlah kerusi di Parlimen memberi kesan memudahkan lebih banyak amalan manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) dan agihan tidak serata jumlah pengundi (malapportionment).

“Ini menjejaskan kecekapan Parlimen dan membebankan lagi belanjawan negara dari segi peruntukkan gaji dan faedah lain bagi wakil rakyat,” kata Maria lagi.

Justeru itu kata beliau, langkah menambah kawasan pilihan raya melalui persempadanan semula adalah bercanggah dengan kepentingan rakyat.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.