Categories
NASIONAL

Chubadak: Pasangan warga emas enggan pindah jika tak dibayar pampasan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pasangan warga emas yang rumah mereka diroboh di Kampung Chubadak, di sini, semalam bertekad untuk terus mendiami kampung itu selagi tidak dibayar pampasan.

Kini, Abdul Halim Hamid, 76, dan isterinya, Wahidah Mat Salleh, 72, yang menetap di situ lebih 40 tahun lalu hanya berteduh di bawah sebuah khemah yang dibina jiran tetangga.

Abdul Halim berkata, dakwaan bahawa mereka sudah mendapat pampasan adalah tidak benar kerana sepanjang tempoh menduduki kampung itu mereka tidak pernah dibayar walaupun sedikit.

Halim“Ada yang kata dah dibayar pampasan RM100,000, bahkan ada yang kata macam-macam tetapi semuanya memang tiada. Sekarang ini dikatakan pula akan dibayar RM7,500 dan diarahkan pindah tetapi tiada juga.

“Kalau tidak dibayar pampasan yang sebetulnya, kami tidak akan berpindah dari kampung ini,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Pasangan terbabit berkata, rumah mereka dirobohkan tiga kali sejak Jun lalu dan tidak tahu apa kesudahan terhadap nasib mereka.

“Kami tinggal di sini sejak 1964 bila kali pertama meneroka kawasan ini. Sepatutnya, hak kami tidak dinafikan sehingga begini. Kini, ia berlaku sebaliknya.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menjalankan bancian seadilnya supaya isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata bekas konduktor bas itu.

Sementara itu, Darus Jam, 62, pihak berkaitan perlu merujuk kepada keputusan mahkamah berhubung program pembangunan di kawasan berkenaan.

Darus jam a“Mahkamah Rayuan pada 2000 membuat keputusan berhubung perkara ini. Kawasan ini boleh dibangunkan tetapi pampasan mesti diberikan kepada semua penduduk. Yang menjadi persoalan kenapa arahan itu tidak diikuti?,” katanya.

Darus berkata, rumahnya juga dikatakan akan dirobohkan dalam tempoh terdekat ini tetapi berdasarkan bancian DBKL, ia tidak termasuk dalam kawasan akan dibangunkan.

“Sekarang, saya tunggu apa akan berlaku pada rumah yang sedang didiami ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.