Categories
NASIONAL

Chubadak: Harapan musnah kerana tiada keadilan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Harapan penduduk Kampung Chubadak, di sini, untuk mendapat pembelaan sewajarnya dilihat tipis kerana apa berlaku setakat ini dianggap tidak adil terhadap mereka.

Aktivis masyarakat, Nashita Md Noor, 48, berkata keadaan yang berlaku dianggap zalim kerana perbincangan tidak dijalankan secara adil dan saksama.

Nasshita“Ketika penduduk mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian dengan pihak berkuasa, pihak satu lagi mengambil kesempatan untuk merobohkan rumah mereka. Di mana adilnya?

“Tiada apa lagi nak dipertahankan kerana duit pampasan juga tidak dapat. Masih ada harapankah?,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seharusnya pampasan diberikan kepada penduduk seperti pasangan Abdul Halim Hamid, 76, dan Wahidah Md Noor, 72, supaya perancangan boleh dibuat apabila rumah mereka dirobohkan.

Namun, katanya, berlaku sebaliknya apabila rumah dirobohkan dan pampasan tidak diberikan.

“Kita akan membantu apa terdaya. Pembinaan khemah untuk Abdul Halim dan Wahidah adalah tanda untuk terus bertahan selagi pemaju tidak memenuhi apa sepatutnya yang menjadi hak penduduk,” katanya yang mendakwa rumah PPRT ditawarkan kepada penduduk tidak sesuai.

Interview penduduk Kg. Chubadak (ASRI)Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Ali Jamil, berkata hak masyarakat Melayu untuk menduduki kawasan bandar dinafikan kerajaan yang memerintah.

“Proses hutan belantara menjadi kampung, orang Melayu duduk tetapi proses kampung menjadi bandar, orang Melayu tiada. Ini ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Katanya, kerajaan BN mengabaikan golongan marhaen dengan kebanyakan tanah milik orang Melayu diambil bagi memberi laluan kepada projek pembangunan demi membela nasib golongan mewah dan berkepentingan.

“Sedangkan golongan miskin dan kurang berkemampuan tidak mempunyai tempat tinggal. Bila ini berlaku, orang Melayu terutama golongan muda akan terpinggir.

“Bila dibangunkan projek dan bangunan besar, anak Melayu tak mampu nak membeli dan memiliki. Maka, orang Melayu menjadi pelarian di negara sendiri,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.