Categories
SELANGOR

Faekah minta penjelasan peruntukan SMUE kawasan bekas MB dibeku tapi dinafi Exco

SHAH ALAM: Pentadbiran baharu Kerajaan Selangor diminta memberi penjelasan mengenai dakwaan pembekuan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) terhadap kawasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Faekah Hussin, berkata ia membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Pada kenyataan media malam ini, beliau mendakwa arahan itu didakwa dibuat Bendahari Negeri Selangor pada 25 September lalu, dua hari selepas penukaran teraju pentadbiran negeri.

“Amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas Menteri Besar yang selama ini bertungkus lumus memperkasa program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Ternyata segala jasa Abdul Khalid selama lebih enam tahun menerajui Selangor dilupakan begitu sahaja kerana politik dendam,” katanya.

Faekah percaya pimpinan negeri lain tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ia boleh membangkitkan kebencian berterusan terhadap Pakatan Rakyat.

Beliau juga menuduh Datuk Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali memulakan langkah sumbang dan menghancurkan hormat rakyat dan pegawai kerajaan kepada pemimpin negeri.

“Budaya ini amat berbeza di bawah pentadbiran Abdul Khalid yang menyemai budaya bekerja secara profesional tanpa dipengaruhi agenda politik dan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata hal itu tidak dibincang dalam mesyuarat exco yang pertama kali berlangsung hari ini.

“Tiada maklumat tentang perkara itu. Perkara itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Exco,” kata ketika dihubungi Selangor Kini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.