Categories
NASIONAL

GST: Perbendaharaan anggar perbelanjaan rakyat bertambah RM700-RM1550 setahun

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 13 OCT : Keghairahan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus perlu dipersoal kerana ia akan memberi kesan bebanan cukai yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Perbendaharaan Malaysia menganggarkan isi rumah berpendapatan kurang RM 4,000 sebulan akan mengalami pertambahan perbelanjaan di antara RM 140 hingga RM 700 setahun akibat GST.

Manakala, katanya isi rumah berpendapatan lebih RM 4,000 sebulan dijangka mencatat kenaikan sekurang-kurangnya RM 1,550 setahun.

anwar“Ini bermakna GST bakal mengurangkan pendapatan lebihan rakyat terbanyak, misalnya bagi golongan berpendapatan rendah di mana 32.6 peratus perbelanjaan bulanan mereka dijangka tertakluk kepada GST, manakala bagi golongan berpendapatan sederhana peratusan ini naik kepada 60 peratus.

“Pakatan Rakyat (PR) berpendapat tanggungjawab kerajaan adalah untuk menggunapakai kaedah paling adil bagi mencukai pelbagai bentuk modal kerana keuntungannya lebih tertumpu di tangan golongan kaya.

“Kami juga berpendapat bahawa cukai konsumpsi seperti GST yang bakal dikenakan kepada semua hanya akan berkesan apabila kesemua penerima gaji membayar cukai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR, berkata komuniti perniagaan turut menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya GST dilaksanakan kerana kelewatan pembayaran rebat cukai itu dapat menjejaskan aliran tunai (cashflow) syarikat.

Beliau berkata sekiranya kelewatan pembayaran berlaku, maka para peniaga terpaksa menaikkan harga barang bagi memastikan aliran tunai yang baik dapat dikekalkan.

“Sebab inilah Pakatan Rakyat tetap berkeras bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga barang yang bakal menekan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dicadangkan PR adalah lebih efektif kerana ia hanya dikenakan kepada sebilangan kecil rakyat Malaysia yang mendapat keuntungan daripada urus niaga melibatkan modal seperti saham, instrumen kewangan dan bon.

Katanya walaupun bilangan yang bakal dicukai CGT adalah jauh lebih sedikit berbanding GST, namun PR menganggarkan pengenalan cukai itu mampu mengutip cukai permulaan dalam tahun 2015 sebanyak RM 3 bilion.

“Sudah tentunya golongan yang dicukai CGT ini berpendapatan besar kerana mereka tentunya mempunyai lebihan pendapatan untuk dilaburkan dalam urus niaga berisiko tinggi seperti saham dan bon.

“Tidak wujud kerisauan bahawa CGT akan merencatkan pelaburan kerana Amerika Syarikat dan United Kingdom kekal menjadi hab pelaburan kelas dunia walaupun masing-masing mempunyai kadar CGT yang tertinggi di dunia pada kadar 50.8 peratus dan 46.7 peratus.

“Malahan, jika CGT dikenakan kepada para spekulator saham maka pasaran saham akan tertebat daripada aktiviti spekulasi dan mencerminkan asas sebenar syarikat-syarikat yang disenaraikan serta menjamin kestabilan pasaran,” katanya lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.