Categories
SELANGOR

Gangguan air Sepang, Hulu Langat, Petaling pulih sepenuhnya esok

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 13 OKT : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menjangkakan gangguan bekalan air berjadual di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang melibatkan pengguna di wilayah Sepang, Hulu Langat dan Petaling dijangka tamat sepenuhnya pagi esok.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred berkata setakat ini hanya bekalan air di kawasan Taman Bukit Gita Bayu, Semenyih yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Gangguan bekalan air berjadual dikawasan terlibat adalah disebabkan kerja-kerja kecemasan yang dilaksanakan di LRA Sungai Semenyih yang dikendalikan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan kerja-kerja menaiktaraf system agihan air oleh SYABAS,” jelasnya.

Sementara itu, di LRA Sungai Langat pula, Puncak Niaga Sdn Bhd berjaya menyiapkan sepenuhnya kerja-kerja kecemasan pembaikan pam pada jam 2 pagi hari ini.

“Pada masa ini, pam telah dapat beroperasi seperti biasa dan penyaluran bekalan air terawat ke tangki dan kolam-kolam utama sedang di dalam proses.

“Syabas menjangkakan kawasan yang terjejas dengan kejadian ini akan pulih sepenuhnya pada lewat hari ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, LRA Ampang Intake telah dibanjiri air dari limpahan Sungai Ampang akibat hujan lebat semalam (12 Oktober 2014) sekaligus membolehkan ia beroperasi semula pada jam 12:45 tengah malam hari yang sama.

Penutupan sementara loji rawatan tersebut pada jam 6.15 petang semalam telah menyebabkan bekalan air ke Kampung Ampang Indah, Kampung Indah Permai dan Taman Mulia Jaya terjejas dan pihak Syabas menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya menjelang esok pagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.