Categories
NASIONAL

Jurang miskin-kaya M’sia paling lebar di Asia Pasifik sebab upah rendah, dasar kerajaan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Satu kajian penganalisis ekonomi antarabangsa mendapati jurang taraf hidup antara miskin dan kaya di Malaysia merupakan paling lebar di rantau Asia Pasifik.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, kajian itu menunjukkan situasi yang berlaku disebabkan antaranya dua faktor utama iaitu kadar upah rendah dan dasar kerajaan gagal membantu golongan berpendapatan rendah.

kualalumpur“Masalah utama di Malaysia yang harus diselesaikan adalah kesenjangan antara miskin dan kaya seperti satu kajian antarabangsa mengapa jurang kesenjangan taraf hidup melebar di Malaysia, paling tak adil di Asia Pasifik.

“28 peratus sebab gaji pekerja yang rendah dan 27 peratus disebabkan dasar kerajaan tidak menekankan bagaimana hendak mengatasi masalah meningkatkan kualiti taraf hidup rakyat,” kata Nurul Izzah,

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis forum Bicara Harakah yang bertajuk ‘Bajet 2015 – Di Mana Pincangnya’ di Galeri My Harakah Bazaar, Jalan Pahang di sini, semalam.

Beliau turut merujuk kajian pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran universiti Malaya, Profesor Dr Fatimah Kari bahawa pemberian BR1M tidak akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Ini kerana tidak ada usaha berterusan dibela. Bukan dengan bagi BR1M tapi menerusi dasar-dasar yang dapat mengangkat taraf hidup mereka seperti gaji minima misalnya.

“GST akan mengeruhkan keadaan walaupun BR1M diberikan seperti apa yang dikatakan Profesor Dr Fatimah Kari, berilah BR1M banyak mana sekali pun tetapi atas dasar rasionalisasi subsidi golongan miskin akan terus terperangkap dalam kemiskinan,” tambah beliau.

Nurul Izzah turut membidas kerajaan kerana menolak cadangan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi menggantikan GST sedangkan CGT berjaya dipraktikkan di 120 buah negara.

Kata beliau lagi, penafian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan kononnya perlaksanaan CGT akan menyebabkan orang kaya lari ke luar negara adalah suatu alasan dangkal dan tidak masuk akal.

“Pada hal di negara laksanakan CGT tidak ada pun orang kaya lari ke luar sebab ini,” ujar Nurul Izzah lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.