Categories
NASIONAL

Kajian: Rakyat sukar miliki rumah, kos tinggi gaji rendah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kajian dijalankan ahli akademik dan institusi kajian tempatan serta antarabangsa menunjukkan kemampuan rakyat negara ini untuk memiliki rumah sendiri paling rendah berbanding negara lain.

Lebih membimbangkan kajian juga menunjukkan sebanyak 85.1 peratus golongan pertengahan turut tidak mampu memiliki rumah berharga RM200,000 ke atas yang ditawarkan skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (Prima) berbanding hanya 15.1 peratus sahaja golongan sama yang berkemampuan.

rumah mampu milik sutera damansara 01Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, hal ini disebabkan faktor harga rumah tinggi khususnya di kawasan bandar dan kadar upah yang rendah berbanding kos sara yang tinggi.

“Kajian (Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM) Dr Nor Malina Malik menunjukkan 85.1 peratus responden bila menjawab soalan adakah anda boleh membeli rumah Prima – gagal, hanya 15.1 peratus daripada kelas pertengahan mampu membeli rumah RM200,000 ke atas.

“Ini perumahan Prima memang tidak mampu dimiliki bukan sahaja golongan miskin tetapi juga golongan pertengahan sebab Malaysia ‘severely unaffordable’ (sangat mahal) itu terma yang digunakan,” kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian dalam forum forum Bicara Harakah yang bertajuk ‘Bajet 2015 – Di Mana Pincangnya’ di Galeri My Harakah Bazaar, di Jalan Pahang di sini, semalam.

Nurul-IzzahKata beliau lagi, manakala kajian kemampuan kredit, sebanyak 75.9 peratus rakyat tidak mampu membeli rumah berharga RM250,000 ke atas dan 52,000 tidak mampu beli rumah berharga lebih RM150,000 sedangkan nilai hartanah di kawasan bandar dan pinggir bandar semakin melambung tinggi.

Nurul Izzah turut mengulas laporan akhbar tempatan, The Star yang menyatakan penduduk di Lembah Klang yang ingin memiliki rumah di kawasan itu perlu memiliki pendapatan sekurang-kurangnya RM9,630 dan ke atas.

“Saya tak tahulah kalau The Star nak kita semua berpindah dan membeli rumah di Tanjung Karang,” kata Nurul Izzah lagi.

Manakala satu kajian demografi perbandingan kemampuan memiliki rumah di Malaysia, Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat berdasarkan gaji median (gaji pertengahan) juga menunjukkan harga rumah di Malaysia paling kurang mampu dibeli rakyat negara ini.

Nurul Izzah turut membandingkan gaji minima di Shenzen China RM8 sejam berbanding Malaysia hanya RM4.33 sejam.

“Ini adalah hakikat yang diutarakan pakar ekonomi, pensyarah untuk memberi kita maklum balas bagaimana nak baiki prestasi dan selesaikan masalah rakyat.

“Malangnya tiada langkah konkrit diambil kecuali gaji minima RM900 yang masih bermasalah untuk dilaksanakan,” ujar Nurul Izzah lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.