Categories
BERITA UTAMA

Kalau Anwar yang berusia masih bertenaga, kenapa anak muda Lensa letih tak bermaya?

Oleh: Shahbudin Husin

Sebuah NGO anak muda pro PR yang dikenali Lensa tiba-tiba bersuara mahukan Anwar Ibrahim bersara daripada politik negara. Kononnya mereka sudah letih dan tidak akan bersolidariti di jalanraya lagi.

Dalam erti kata, kalau Mahkamah Persekutuan mendapatinya kekal bersalah, berehat sajalah di penjara dan kemudian bersara. Kalau dibebaskan pula, lebih baiklah berehat saja atau berhijrah dan nikmati kehidupan berkeluarga yang lebih baik.

AnwarSebelum ini, NGO yang sama juga meminta Pas keluar daripada PR kerana kononnya juga parti itu menjadi punca segala masalah dan kekalutan dalam gabungan itu, terutama berkaitan isu Menteri Besar Selangor.

Kalau Pas mahu diketepikan dan Anwar pula diminta bersara, berehat dan berhijrah, apakah Lensa berniat mahu mengambil alih teraju PR untuk berlawan dengan UMNO dan BN selepas ini?

Apakah Lensa yang baru ditubuhkan ini mampu melonjakkan sokongan perubahan undi popular sebanyak 52 peratus dan kemenangan 89 kerusi dalam pilihanraya lalu kepada angka yang lebih baik lagi?

Atau apakah Lensa ini sebuah NGO tajaan UMNO dan BN? Melaung dan menjerit atas nama PR tapi dalam hati percaya hanya UMNO dan BN saja yang mampu mentadbir negara ini?

Ramai yang keliru dengan langkah dan pencak Lensa ini? Mereka sendiri wujud atas nama perjuangan yang diasaskan oleh Anwar tetapi dalam masa yang sama mahukan Ketua Pembangkang itu berundur dan bersara?

Lebih tidak enak, seruan bersara itu dilontarkan ketika Anwar sedang menghadapi detik genting dan penentuan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober depan. Jika sudah menjual nama sebagai NGO pro PR, kenapa bertindak seakan-akan duri dalam daging, telunjuk lurus kelingking berkait dan musuh dalam selimut?

Kalau merasakan tidak sesuai dengan perjuangan PR yang diasaskan oleh Anwar bersama PKR, Pas dan DAP, kenapa tidak menjadi NGO yang bebas atau bergerak seperti Isma atau Perkasa saja? Atau buatlah seperti NGO beruniform dan bercermin mata hitam yang kerjanya membuat hanya membuat laporan polis saja?

Berbanding dengan beberapa NGO, gerakan, kelompok dan pemimpin anak muda lain yang lahir sejak gerakan reformasi pada 1998, Lensa dikira masih bayi dan baru belajar bertatih saja dalam politik negara ini.

anwar taman ampang 1 mei 02Barangkali belum secawan keringat mereka yang tumpah dan belum setitik juga darah yang terpercik berbanding Anwar yang pernah dipenjara, difitnah, dizalimi dan dipukul setengah mati.

Sementara yang lain masih aktif, bertenaga dan berselera, mengapakah Lensa seakan sudah patah kandar dan mengaku letih hanya setelah dua tiga langkah perjalanan?

Anwar yang keluar masuk penjara, difitnah siang malam, menghabiskan banyak masa di mahkamah, menguruskan masalah parti, memastikan PR sentiasa kukuh dan diselang-seli masalah anak-anak serta keluarga tetapi tidak pernah mengadu letih walaupun semakin berusia, tidak malukah anak muda Lensa ini siang-siang lagi sudah mengaku tidak bertenaga?

Bagaimana agaknya jika mereka ini dewasa ketika hangatnya era reformasi dulu?

Reformasi dan PR tidak mungkin wujud tanpa Anwar dan tanpa isu yang melibatkan dirinya. Dengan kecekalan Anwar meneruskan perjuanganlah, maka terhasil apa yang ada sekarang.

Jika Anwar letih, lebih baik beliau akur saja dengan Mahathir pada 1998 dulu dan boleh memilih kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarganya. Tetapi kerana itu bukan prioriti dalam hidupnya, kehidupan getir, berliku dan penuh azab yang dilaluinya.

Rakyat negara ini seharusnya berterima kasih dengan Anwar. Tanpa beliau, bukan saja PR tidak ada, pembangkang yang kuat tidak wujud, perubahan di beberapa kerajaan negeri tidak berlaku, malah Lensa sendiri entah di longkang mana beradanya. Dengan pembangkang yang kuatlah, baik BN atau PR berlumba-lumba memberi yang terbaik kepada rakyat.

Memang apabila sampai masanya, bukan saja Anwar malah semua pemimpin akan bersara dan mengundurkan diri. Sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan pada 28 dan 29 Oktober ini, yang penting nama Anwar, isu Anwar dan perjuangan yang diasaskannya tetap diperlukan sekurang-kurangnya untuk menghadapi PRU 14 akan datang.

Meminta Anwar bersara, berehat dan berhijrah di saat genting ini tidak menyumbang ke arah sistem dua parti yang kuat dan jauh sekali untuk merangsang lagi kesedaran rakyat bagi mengakhiri tempoh kuasa UMNO dan BN, sebaliknya hanya mengundang rasa gembira Najib saja.

Atau barangkali memang itu yang dimahukan Lensa. ( SH 18/10/2014)

Leave a Reply

Your email address will not be published.