Categories
NASIONAL

Kos percutian misteri PM juga rahsia negara?

Oleh : AFEEQA AFEERA

PARLIMEN 9 OKT: Putrajaya didakwa terus-menerus merahsiakan butiran kos perbelanjaan awam melibatkan Perdana Menteri dan isteri daripada pengetahuan umum, kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

Kenyataan itu merujuk kepada percutian misteri Datuk Seri Najib Razak ke Eropah selama dua minggu menggunakan pesawat pengangkut VIP Airbus A319CJ selepas mengadakan sidang media MH17 di Amsterdam, 1 Ogos lepas.

Bagaimanapun katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hanya memaklumkan ia adalah pesawat rasmi yang digunakan atas urusan rasmi dan segala kos dalam anggaran bersesuaian dengan perkhidmatannya.

“Soalan-soalan yang ditujukan oleh Ahli Parlimen tidak dijawab secara telus.

Anthony-Loke“Apakah Putrajaya kini mengamalkan dasar kerahsiaan dalam semua isu yang dianggap boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan imej Perdana Menteri?” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Katanya lawatan rasmi Najib ke Belanda juga hanya berlangsung sehari iaitu pada 1 Ogos lalu tanpa sebarang rekod berkenaan jadual lawatan beliau dalam tempoh dua minggu seperti yang dilaporkan laman web Asia Sentinel.

Beliau turut mempersoalkan sama ada percutian Najib dianggap sebagai urusan rasmi dan pesawat kerajaan boleh digunakan untuk tujuan bercuti.

Beliau juga mempertikaikan mengapa Najib tidak menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dalam lawatannya ke luar negara sebagai tanda sokongan dan keyakinan terhadap penerbangan negara itu.

“Persoalan pokok yang perlu dijawab Najib adalah apakah pembayar cukai perlu menanggung perbelanjaan untuk percutian peribadi beliau dan rombongannya?

“Sekiranya melibatkan perbelanjaan awam, rakyat berhak mengetahui kos perbelanjaannya dan kewajarannya dipersoalkan,” katanya lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.