Categories
SELANGOR

Mangsa ribut Pandamaran lega dapat bantuan

Oleh: Naeem Raffi

PANDAMARAN, 23 OKT : Sambutan Deepavali tahun ini disambut linangan air mata mengenangkan rumah tempat bertedung selama ini rosak teruk dibadai puting beliung sehari sebelum perayaan itu disambut.

Demikian nasib yang menimpa ibu tunggal Araywee A/P Murugan 62 apabila bumbung rumahnya musnah ditiup angin dalam kejadian ribut di sini, petang Isnin lalu.

10733987_802172839847064_1374504612737655875_n“Saya berada di dalam rumah ketika itu bersama seorang anak kelainan upaya. Kami panik dan berpelukan sesama kami.

“Kami sambut deepavali dalam suasana sedih kerana terpaksa tidur dalam keadaan rumah yang basah kerana dimasuki hujan,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.

Beliau antara penghuni Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pandamaran Jaya yang terkesan dalam kejadian ribut selama 30 minit itu.

Akibat kejadian itu, bumbung bahagian tengah rumahnya hilang dibawa ribut kencang dan beberapa peralatan dan perabot rumahnya rosak.

Perasaan yang sama turut dikongsi penghuni Blok F, Francis Maviandas, 48, apabila persiapan keluarganya menyambut deepavali turut musnah dalam kejadian itu.

“Nasib tahun ini kurang baik, kami tidak ke kuil untuk sembahyang pada malam deepavali.

“Pakaian baru sambut deepavali habis basah kerana bumbung rumah kami bocor,” kata penghuni blok B pangsapuri itu.

Jelasnya, mereka sekeluarga hanya mengemas rumah dan mengalihkan peralatan elektrik yang terdedah dari air hujan sepanjang hari deepavali.

“Saya tidak berani hidupkan mana-mana suiz dalam rumah, takut litar pintas sebab dinding rumah dan peralatan elektrik seperti peti air basah ditimpa hujan,” katanya lagi.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan beberapa barisan Exco Selangor turun melawat kawasan kejadian.

Dalam lawatannya, Mohamed Azmin menyakinkan penduduk terlibat dengan jaminan kerja membaikpulih struktur bumbung yang rosak di Pangsapuri itu siap sepenuhnya menjelang Jumaat depan.

“PKNS sejak petang kejadian telah mula tugas membaikpulih dan saya difahamkan PKNS mampu siapkan sepenuhnya kerja ini pada hari Jumaat ini.

“Jangan risau, Kerajaan Negeri akan pastikan PKNS siapkan bumbung ini secepat mungkin,” katanya ketika menemui beberapa penduduk terlibat di kawasan itu.

Pusaran angin yang terbentuk semasa hujan pada jam 2 petang Isnin lalu menyaksikan bumbung lima dari enam blok pangsapuri PKNS rosak dengan sebahagiannya diterbangkan angin.

Tinjauan Selangor Kini ke atas penghuni terlibat rata-ratanya berpuas hati dengan komitmen dan usaha proaktif PKNS itu.

“Saya harap PKNS dapat siapkan kerja ini seperti yang dijanjikan kerana kehidupan kami terjejas sejak hari kejadian.

“Rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PKNS atas usaha mereka memastikan masalah ini dapat diselesaikan segera,” kata Mohd Suhairi Saari, 27.

Beliau merupakan penghuni blok B yang terjejas dan kini menumpang rumah saudara terdekat sementara menanti bumbung rumahnya siap dibaiki.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.