Categories
SELANGOR

MB: 31 Dis PBT selesai isu jalan & sampah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 31 OKT: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi tempoh sehingga 31 Disember ini bagi menyelesaikan isu kutipan sampah di kawasan pentadbiran masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri bersetuju memberi peruntukan khas kepada PBT yang sebelum ini memberi alasan tidak mempunyai peruntukan secukupnya bagi membiayai kos kerja terlibat.

MB Azmin“Ini saya jadikan tumpuan selama tiga bulan termasuk isu sampah sama ada sampah domestik, sisa pepejal atau sampah pukal yang merupakan isu besar di kawasan PBT Selangor.

“Alasan diberikan PBT tidak ada peruntukan. Sekali lagi kita mengambil pendirian untuk berikan peruntukan khas kepada semua PBT kecuali kecuali dua untuk selesaikan masalah ini sebelum 31 Disember.

“Saya mahu sampah domestik diangkat mengikut jadual sama ada setiap dua hari atau satu hari dan sampah pukal mesti dibersihkan sama sekali kerana saya mahu Selangor negeri bersih yang dijadikan contoh negeri lain,” kata Mohamed Azmin di hadapan kira-kira 200 kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Mohamed Azmin berkata demikian dalam ucapannya di Program Turun Padang di Daerah Petaling di Auditorium MBPJ hari ini.

Jelas beliau, selain isu sampah, isu penyelenggaraan jalan dan banjir juga perlu diselesaikan dalam tempoh sama.

Ketika menyentuh peruntukan bagi mengatasi isu sampah, dua PBT iaitu MBPJ dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak diberikan peruntukan kerana masing-masing mempunyai rezab kewangan kukuh.

Beliau turut menggesa PBT memastikan hanya kontraktor berkemampuan membaiki jalan berkualiti dipilih.

Langkah ini perlu diambil bagi memastikan jalan sudah dibaiki mampu bertahan lama berbanding sebelumnya.

Mohamed Azmin juga memberi jaminan akan menyalurkan semua peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki jalan-jalan di seluruh Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.