Categories
NASIONAL

Pekerja swasta paling terdedah kepada kemiskinan selepas bersara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OKT: Pekerja swasta berpendapatan rendah merupakan golongan paling terdedah kepada risiko kemiskinan tatkala menghadapi hari persaraan berikutan kurangnya persediaan dan tidak mempunyai wang simpanan secukupnya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Hal ini terjadi apabila pekerja swasta tidak berpencen ini tidak dapat menabung lantaran terpaksa membelanjakan semua pendapatan mereka semasa masih berkerja bagi menampung keperluan keluarga.

Justeru itu, kerajaan dicadang mengambil inisiatif mengalakkan syarikat swasta menyediakan kursus persediaan hari tua untuk golongan itu supaya mereka mampu menjana pendapatan di hari tua.

“Bagi yang berpendapatan tinggi atau kakitangan kerajaan yang menikmati pelbagai kemudahan dan juga pencen mungkin kurang berisiko tetapi kerajaan perlu beri perhatian kepada perkerja swasta berpendapatan rendah ini.

20141007_172804“Antaranya mungkin dalam Belanjawan 2015 nanti kerajaan wajar sediakan inisiatif kursus dalam bidang pelaburan yang tidak menggunakan modal besar atau pun kursus kemahiran tertentu supaya mereka boleh berkerja di bidang lain atau pun kursus perniagaan tertentu secara kecil-kecilan selepas bersara,” kata Pengurus Perkhidmatan di SMI Group, Norkhamar Shamimi, 44.

Pekerja sendiri juga perlu dididik memanfaatkan simpanan KWSP untuk membuat pelaburan jangka panjang di Amanah Saham Bumiputra, tabung-tabung amanah lain, atau insurans.

“Saya gunakan dana KWSP saya untuk tujuan pelaburan tetapi ramai yang tak tahu kita boleh mohon pada KWSP untuk melabur dan kerajaan kena beri promosi yang lebih supaya orang ramai tahu wang mereka dalam KWSP boleh ‘diaktifkan’ bukan sekadar menunggu faedah yang diumumkan KWSP,” kata beliau lagi.

Sementara itu, pegawai keselamatan sebuah syarikat pemaju perumahan, Azli Yahya, 33, pula berkata, tekanan kos sara yang semakin tinggi menyebabkan beliau tidak dapat menyimpan untuk hari tua.

“Memang betul simpanan untuk hari tua sangat penting dan mudah kita cakap untuk menyimpan tetapi macam mana nak menyimpan kalau keperluan seharian keluarga terlalu mendesak dengan harga barangan mahal, bayar rumah mahal, belanja persekolahan anak dan macam-macam lagi.

“Simpanan yang saya ada cuma KWSP untuk bekalan hari tua saya nanti. Kalau harap duit KWSP sahaja untuk menampung hidup saya selepas bersara rasanya tak cukup, jadi mungkin saya terpaksa terus berkerja atau berniaga kecil-kecilan selepas bersara nanti,” kata Azli.

Bekas akauntan Colgate Palmolive Malaysia yang bersara pada 2001, Mohtar Samat, 68, pula memberitahu sebelum bersara beliau memohon pemotongan tambahan sebanyak dua peratus ke atas gaji bulanannya dan pihak majikan pula memberi sumbangan tambahan sebanyak empat peratus ke dalam akaun KWSP pekerja.

20141007_164810“Pada masa itu potongan wajib adalah sembilan peratus dari pendapatan perkerja dan 11 peratus sumbangan wajib majikkan tapi saya tambah kepada 11 peratus bahagian perkerja dan majikkan juga tambah empat peratus lagi menjadikan kesemuanya 26 peratus simpanan setiap bulan untuk kegunaan hari tua,” kata Mohtar.

Jelas Mohtar, hasil simpanan KWSP dan perancangan awal yang dilakukan itu membolehkan beliau kini menjalani kehidupan selepas bersara dengan lebih tenang dan selesa tanpa dibebani masalah kewangan.

Tambah Mohtar golongan perkerja harus bijak merancang tempoh bayaran pinjaman yang mereka ada agar tidak terus menanggung hutang selepas bersara nanti.

Beliau juga berharap kerajaan dapat memikirkan langkah bagi mengatasi isu kemiskinan selepas bersara khususnya bagi golongan perkerja berpendapatan rendah.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.