Categories
SELANGOR

Penghuni Apartmen Teratai dibenarkan pulang hari ini

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 26 OKT: Penghuni Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung yang terjejas dalam insiden tanah runtuh telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing jam 3.00 petang tadi.

10665682_10203050763570379_5688527904020919033_nExco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata keputusan membenarkan 289 keluarga terlibat itu pulang diambil atas nasihat Jabatan Teknikal, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor setelah mengesahkan tiada pergerakan tanah baru di kawasan itu.

“JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun dengan Jabatan Mineral dan Geosains telah membuat pemeriksaan tapak bermula 21 Oktober lalu sehingga hari ini (8.30 pagi) dan mendapati kawasan cerun adalah stabil.

“Walau bagaimanapun, pemantauan akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Sekurang-kurangnya sejumlah 289 keluarga merangkumi 1,163 individu yang mendiami blok K dan L ditempatkan di pusat penempatan sementara membabitkan tiga sekolah berhampiran susulan insiden tanah runtuh pada 20 Oktober lalu.

Kejadian tanah runtuh kali ini dianggap terburuk berbanding kali pertama kejadian hampir sama berlaku pada 2009.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah bekerja keras selama ini memulihkan cerun yang runtuh itu sekaligus membolehkan semua penghuni pulang lebih awal dari jangkaan.

“Penduduk juga dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa dan sentiasa peka dengan persekitaran untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk kerja pemulihan serta RM150,000 untuk bantuan bencana kepada semua keluarga yang terbabit dengan tragedi terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin telah dua kali turun padang dalam tempoh 24 jam ke kawasan bencana tanah runtuh bagi meninjau sendiri kejadian selain mengambil berat masalah penghuni terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.