Categories
KENYATAAN MEDIA

Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA lahir komuniti gemar membaca

Oleh: BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM MBSA

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Majlis Perasmian Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA yang terletak di Pejabat Cawangan Kota Kemuning, MBSA, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam. Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA merupakan perpustakaan pertama yang dikendalikan dan ditadbir sepenuhnya oleh MBSA.

Penubuhan perpustakaan ini bertujuan memberikan kemudahan kepada penduduk di bandar raya Shah Alam khususnya golongan pelajar/kanak-kanak dalam penyediaan sumber ilmu dan bahan bacaan, sekaligus menggalakkan mereka untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai satu budaya. Selain itu, kewujudan perpustakaan ini juga adalah untuk menyediakan pelbagai aktiviti dan program cuti sekolah yang bermanfaat untuk memenuhi masa lapang mereka.

Perpustakaan Anggerik Vanilla ini telah beroperasi sejak 1 April 2014 dengan menyediakan pelbagai program cuti sekolah kepada golongan pelajar/kanak-kanak seperti Program Riang Ria Cuti Sekolah, Lab Interaktif, Aktiviti Kraf Kreatif Kanak-Kanak, program bercerita, program motivasi diri dan sebagainya.

Di perpustakaan ini terdapat beberapa kemudahan yang disediakan bagi memberikan keselesaan dan kesenangan kepada pengunjung. Antara kemudahan yang disediakan adalah sudut komputer, wifi, dan surau. Selain itu terdapat juga Lab Interaktif iaitu ruang khas khusus untuk kanak-kanak berusia antara 3 hingga 10 tahun menjana minda dengan penyediaan buku-buku khas dan permainan yang bersesuaian. Wakaf atau pondok turut disediakan bagi memberikan suasana dalam taman kepada pengunjung yang ingin membaca dikelilingi suasana hijau.

Pelbagai buku-buku tempatan dan luar negara juga disediakan sebagai bahan bacaan dan rujukan pelbagai peringkat umur kepada pengunjung perpustakaan tersebut. Keahlian perpustakaan disediakan dan orang ramai digalakkan menjadi ahli agar proses peminjaman buku dapat dipermudahkan dan pemakluman berkenaan aktiviti terbaru dapat disampaikan dengan mudah. Sehingga ini terdapat 1700 buku/jilid untuk bacaan dan rujukan pengunjung. Perpustakaan tersebut juga masih dalam proses penambahan buku bacaan dari semasa ke semasa.

Untuk menjadi ahli, yuran keahlian akan dikenakan kepada mereka yang berminat. Berikut merupakan kadar yuran keahlian Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA:-

Bil Kategori Yuran Keahlian
1. Orang Awam (Dewasa) RM 15.00 (Pendaftaran)

RM 5.00 (Pembaharuan setiap tahun)

2. Orang Awam (Kanak – Kanak)

(7- 12 tahun)

RM 5.00 (Pendaftaran)

RM 5.00(Pembaharuan setiap tahun)

3. Golongan Kelainan Upaya (OKU) dan Warga Emas Percuma

Majlis perasmian Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Jaafar b. Hj. Mohd Atan, Datuk Bandar Shah Alam dengan menandatangani plak perpustakaan dan mural ‘Tree of Knowledge’ Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA. Turut diadakan semasa sesi perasmian adalah penyerahan buku-buku sumbangan peribadi Datuk Bandar kepada perpustakaan, sesi bercerita bersama kanak-kanak tadika Genius Aulad, aktiviti kraf kreatif dan sebagainya.

Sebarang pertanyaan berhubung Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA ini, sila hubungi Unit Perpustakaan, Bahagian Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat & Pembangunan Komuniti, Pn. Rafida bt. Abdul Rahman, Pegawai Perpustakaan di talian 013-3685345, Pn. Syuhaida di talian 013-3026814 atau kaunter perpustakaan di talian 03-5120 1367.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published.