Categories
NASIONAL

Ramai pelajar cemerlang tidak terima tawaran ke IPTA

Oleh : AFEEQA AFEERA

PARLIMEN, 9 OKT : Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa kebanyakan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menerima sebarang tawaran meskipun mendapat keputusan cemerlang di sekolah atau matrikulasi.

Beliau berkata sehingga Ogos lalu, sebanyak 254 kes aduan diterima berhubung perkara berkenaan di mana 54 kes daripadanya mendapat kursus luar pilihan, 52 kes tidak mendapat tawaran langsung dan selebihnya lain-lain.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan yang tidak berupaya menerangkan masalah berkenaan secara jelas di dalam Dewan Rakyat.

Sim Tze Tzin“Kami beri bukti yang sah kepada menteri bahawa perkara ini benar-benar berlaku dan ia semakin serius terutama untuk kemasukan tahun ini.

“Kebanyakan pelajar yang tidak menerima tawaran ini bukan sahaja bumiputera, termasuk juga pelajar pelbagai bangsa yang menjadi mangsa disebabkan sistem pemilihan universiti yang tidak teratur.

“Kita minta supaya menteri beri jawapan kerana ia bukan berlaku tahun ini sahaja tetapi setiap tahun ada masalah sama,” katanya dalam sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Beliau turut mempesoalkan sama ada masalah berkenaan berpunca daripada sikap kerajaan yang ingin mengurangkan defisit perbelanjaan sehingga terpaksa menyekat kemasukan pelajar ke IPTA atau ingin mengejar ranking dunia dengan mengurangkan kemasukan pelajar tempatan.

Beliau turut menggesa supaya pihak kerajaan boleh mengadakan mesyuarat bersama pemimpin PR bagi mencari penyelesaian terhadap masalah itu untuk mengelakkan lebih ramai pelajar menjadi mangsa.

“Kita minta supaya kerajaan jawab dengan intelektual kerana kemasukan pelajar kini berkurang daripada 70 peratus kepda 63.2 peratus sekarang,” katanya lagi.

Kamalanathan ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat berkata dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah menyediakan lebih banyak program kepada pelajar dan berdasarkan prinsip meritokrasi dengan menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.