Categories
NASIONAL

Food Bank Siswa diperluas di lebih banyak IPT termasuk swasta

KUALA NERUS, 29 APR: Program Food Bank Siswa Malaysia akan diperluas kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini pihaknya masih memfokuskan program itu di universiti awam (UA) dengan sasaran pelaksanaan program di 20 UA sebelum Disember ini.

“Ia akan diperluaskan di universiti swasta yang lain dan kolej komuniti, sekolah agama, Institut Pendidikan Perguruan (IPG)… semuanya dalam perhatian kita.

“Saya yakin program ini akan jadi satu gerakan kesukarelawanan yang baik, banyak memberi faedah kepada penerima di samping kita mendidik masyarakat untuk mengelak pembaziran. Saya optimis Food Bank Siswa ini akan pantas berkembang dengan komitmen tinggi pelbagai pihak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2019 dan Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Program Food Bank Siswa diwujudkan hasil kejayaan program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas yang sehingga kini memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan B40 di seluruh negara.

Pelaksanaan Food Bank Siswa adalah susulan pendedahan media mengenai golongan mahasiswa di universiti awam yang terpaksa mengikat perut akibat masalah kewangan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kementerian sangat berpuas hati dengan komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan program itu dan berharap lebih banyak syarikat akan tampil membantu pada masa akan datang.

Setakat ini, Food Bank Siswa dilancarkan di beberapa UA iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor dan terbaru di UniSZA hari ini.

SUMBER: BERNAMA

Tukar status pinjaman kepada biasiswa jika CGPA 3.75

Pelajar IPTA/IPTS yang memperoleh keputusan peperiksaan dengan CGPA 3.75 berpeluang menukar status Pinjaman Selangor kepada biasiswa.

Categories
NASIONAL

Ramai pelajar cemerlang tidak terima tawaran ke IPTA

Oleh : AFEEQA AFEERA

PARLIMEN, 9 OKT : Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa kebanyakan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menerima sebarang tawaran meskipun mendapat keputusan cemerlang di sekolah atau matrikulasi.

Beliau berkata sehingga Ogos lalu, sebanyak 254 kes aduan diterima berhubung perkara berkenaan di mana 54 kes daripadanya mendapat kursus luar pilihan, 52 kes tidak mendapat tawaran langsung dan selebihnya lain-lain.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan yang tidak berupaya menerangkan masalah berkenaan secara jelas di dalam Dewan Rakyat.

Sim Tze Tzin“Kami beri bukti yang sah kepada menteri bahawa perkara ini benar-benar berlaku dan ia semakin serius terutama untuk kemasukan tahun ini.

“Kebanyakan pelajar yang tidak menerima tawaran ini bukan sahaja bumiputera, termasuk juga pelajar pelbagai bangsa yang menjadi mangsa disebabkan sistem pemilihan universiti yang tidak teratur.

“Kita minta supaya menteri beri jawapan kerana ia bukan berlaku tahun ini sahaja tetapi setiap tahun ada masalah sama,” katanya dalam sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Beliau turut mempesoalkan sama ada masalah berkenaan berpunca daripada sikap kerajaan yang ingin mengurangkan defisit perbelanjaan sehingga terpaksa menyekat kemasukan pelajar ke IPTA atau ingin mengejar ranking dunia dengan mengurangkan kemasukan pelajar tempatan.

Beliau turut menggesa supaya pihak kerajaan boleh mengadakan mesyuarat bersama pemimpin PR bagi mencari penyelesaian terhadap masalah itu untuk mengelakkan lebih ramai pelajar menjadi mangsa.

“Kita minta supaya kerajaan jawab dengan intelektual kerana kemasukan pelajar kini berkurang daripada 70 peratus kepda 63.2 peratus sekarang,” katanya lagi.

Kamalanathan ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat berkata dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah menyediakan lebih banyak program kepada pelajar dan berdasarkan prinsip meritokrasi dengan menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum.

HM

Categories
SELANGOR

KUIS bakal tubuh Pusat Latihan dan Penyelidikan Perbankan Islam Januari 2014

kuiss

BANGI 24 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama Islamic Develop Bank (IDB) Jeddah bagi menubuhkan pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam, selewat-lewatnya Januari 2014.

Cadangan penubuhan itu bertujuan memperkembangkan lagi pengetahuan terhadap sistem perbankan Islam yang semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata program itu akan dikendalikan oleh Fakulti Muamalat, selain jalinan kerjasama di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

“Lembaga Pengarah bersetuju untuk kita mengadakan MOU bersama Islamic Develop Bank (IDB) di Jeddah. Atas persetujuan itu, kami akan menubuhkan satu pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam.

“Penebuhan itu, akan diketuai Dekan Fakulti Muamalat dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat, yang mana perjanjian ini akan ditandatangani, selewat-lewatnya Januari 2014,” katanya pada sidang media Majlis KUIS bersama Media, di sini, semalam.

Katanya, fokus latihan diberikan kepada kepada pegawai yang tidak mempunyai latar belakang perbankan Islam tapi bekerja di dalam sektor berkenaan dan untuk orang bukan Islam.

“Cadangan itu dilihat mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa memandangkan perbankan Islam baru menguasai 20 peratus pasaran. Modul pengajaran ini akan dibuat dalam bentuk sarjana dan sijil latihan, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

-NFN-

Nilai Ketirisan Kerajaan Mampu Tampung Pendidikan Percuma – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 06022013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 6 FEBRUARI 2013 :

1. Nilai ketirisan wang rakyat dan pembaziran yang dilakukan Kerajaan Pusat kini bukan sahaja mampu menampung kos pendidikan percuma malah lebih dari mencukupi.

2. Dalam tempoh 10 tahun selepas memerintah, Pakatan Rakyat mensasarkan membina 10 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan anggaran kemampuan menampung kira-kira 100,000 pelajar.

3. Pendidikan masa kini didapati terlalu menumpukan pada aspek kejayaan meritokrasi melalui pentaksiran dan penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata.

4. Bantuan RM120 juta dari Kerajaan Pusat kepada Syabas tidak membantu menyelesaikan isu air di Selangor, sebaliknya rakyat negeri ini mahukan penyelesaian jangka panjang diambil agar masalah bekalan air tidak berlaku pada masa depan.

http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

P. Pinang Lulus RM 2 Juta Bantuan Pendaftaran Ke-IPTA

SHAH ALAM 10 OGOS : Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited melaksanakan program bantuan wang pendaftaran kepada pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Memetik ucapan Ketua Menteri yang diemel kepada TVSelangor, Lim Guan Eng berkata tahun ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM 2 juta bagi meringankan beban pelajar-pelajar dan ibu bapa.

“Barisan kepimpinan Pulau Pinang akan terus berusaha membina masa depan yang cerah demi masa depan rakyat semua.

“Saya sangat berharap agar anak-anak yang berjaya kelak kembali ke Pulau Pinang bagi mencurahkan bakti kepada negeri ini,” ucapnya dalam Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran ke IPTA Peringkat Diploma 2012 di Komtar pagi ini.

Program bantuan yang memasuki tahun kedua ini menyaksikan seramai 298 pelajar peringkat Diploma layak menerima bantuan sebanyak RM 1000 setiap seorang.

Permohonan i-BiTA (sistem permohonan bantuan ke institut pengajian tinggi awam) bagi pelajar peringkat Diploma dibuka pada 16 Mei sehingga 22 Jun lalu manakala bagi pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda pendaftaran dibuka bermula 8 Ogos sehingga 30 September nanti.

Tahun lalu, seramai 2009 orang pelajar menerima manfaat daripada program ini dengan peruntukan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM 2, 009, 000.

Selain program ini, tambah Guan Eng, lebihan bajet juga membolehkan Kerajaan Negeri mewujudkan pelabagai program kebajikan lain seperti Penghargaan Warga Emas, Bantuan Ibu Tunggal, Bantuan Orang Kurang Upaya dan Anak Emas Pulau Pinang.

“Saya yakin selagi Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), selagi itulah kebajikan rakyat akan terus terjaga,” tegasnya.