Categories
SELANGOR

RM20 juta tabung pulih projek perumahan terbengkalai

SHAH ALAM 24 OKT: Kerajaan Selangor meluluskan penubuhan tabung khas untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata tabung itu dinamakan Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) memiliki dana sehingga RM20 juta.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiKatanya, dana itu akan disumbangkan Kerajaan Selangor dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

“Kos pemulihan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan pembeli,” kata Iskandar Samad dalam kenyataan media.

Beliau berkata peratus kos ditanggung Kerajaan Negeri dan pembeli untuk memulihkan sesuatu projek terbengkalai adalah seperti berikut :

( i.) Rumah Kos Rendah (RM35,000 hingga RM42,000) – 100 peratus Kerajaan Negeri / 0 peratus pembeli.

( ii.) Rumah Kos Sederhana Rendah (RM72,000) – 80 peratus Kerajaan Negeri / 20 peratus pembeli.

( iii.) Rumah Kos Sederhana (RM100,000) – 70 peratus Kerajaan Negeri / 30 peratus pembeli.

( iv.) Harga jualan RM101,000 hingga RM200,000 – 40 peratus Kerajaan Negeri / 60 peratus pembeli.

( v.) Harga jualan RM201,000 hingga RM300,000 – 30 peratus Kerajaan Negeri / 70 peratus pembeli.

Katanya, walau bagaimanapun tabung ini akan mengutamakan Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana.

“Setakat ini empat projek perumahan terbengkalai yang melibatkan hampir 1,000 unit kediaman telah dikenalpasti untuk dipulihkan.

“Projek-projek lain akan dikenalpasti selepas ini,” katanya.

Iskandar berkata penubuhan tabung ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mangsa-mangsa projek terbengkalai.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang bertujuan untuk membantu pemaju dan pembeli projek terbengkalai mencari jalan penyelesaian,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.