Categories
SELANGOR

RM400 juta MARRIS patut diguna sebaiknya

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri patut menggunakan sebaiknya keseluruhan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) bagi menaiktaraf dan memperbaiki jalan di negeri itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, ia bagi memastikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat menjalankan kerja membaiki jalan rosak dari semasa ke semasa.

gambar jalan lopak (1)“Kerajaan Negeri kena salurkan jumlah peruntukan itu kepada PBT. Jangan dikurangkan dan PBT pula perlu membelanjakannya dengan sewajarnya, cekap dan amanah.

“Kalau bajet PBT sebanyak RM80 juta, kena serahkan RM80 juta juga supaya PBT boleh jaga jalan di kawasan pentadbiran mereka,” kata Khalid ketika dihubungi Selangor Kini.

Apabila ditanya keadaan jalan raya di Shah Alam ketika ini, Khalid berkata secara umumnya terdapat perubahan apabila kerja pembaikan semakin banyak dijalankan.

“Walaupun sekarang sibuk di Parlimen tetapi memang saya ada nampak banyak dah diperbaiki.

“Ada aduan awam dibuat melalui pejabat dan saya dah salurkan kepada Ahli Majlis dan ADUN bagi mengenal pasti lokasi jalan terlibat. Keutamaan dibuat di jalan teruk dahulu,” kata beliau.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan bakal menggunakan kesemua peruntukan MARRIS bernilai RM400 juta bagi membaiki jalan di negeri ini.

Jelas Mohamed Azmin, kesemua peruntukan ini dibahagikan kepada 12 PBT bagi membiayai kos kerja membaiki jalan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.