Categories
NASIONAL

Tiada peruntukan rahsiakan cukai terkumpul 20 hartawan terkaya

Oleh AFEEQA AFEERA

PARLIMEN, 8 OKT: Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak menghalang Putrajaya mengumumkan jumlah cukai terkumpul 20 hartawan terkaya negara, jelas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Lantas, alasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan bahawa jumlah cukai hartawan-hartawan terbabit tidak boleh didedahkan kerana ia adalah rahsia di bawah seksyen itu tidak benar sama-sekali.

“Tiada peruntukan dalam Seksyen 138 yang mengatakan jumlah terkumpul tidak boleh didedahkan. Pengumuman cukai pendapatan dengan sukacita mengumumkan sejumlah RM140 bilion berjaya dikutip tahun ini daripada 2.3 juta pembayar cukai dan 100,000 syarikat. Itu adalah jumlah terkumpul. Mengapa pula jumlah terkumpul 20 hartawan terkaya tidak boleh diumumkan?” kata Wong Chen dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyorot perhatian kepada Seksyen 138(2)(c) yang memberi kuasa kepada Menteri untuk mendedahkan mana-mana maklumat yang dirasakan perlu.

Ahmad Maslan enggan mendedahkan maklumat itu kepada Dewan Rakyat sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan 2014), semalam, susulan gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Putrajaya berbuat demikian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke melahirkan dukacita diatas kerahsiaan Putrajaya meskipun melibatkan risiko pemborosan dana awam.

“Tanpa ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan, pembaziran sumber dan pemborosan dana awam akan semakin berleluasa dan parah.

“Kami dalam PR akan terus menekan pihak kerajaan dalam perbahasan Bajet 2015 supaya lebih telus dalam segala perbelanjaan kerajaan,” katanya lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.