Categories
SELANGOR

Usung jenazah dari tingkat 17 gara-gara lif rosak, penduduk mahu diperbaiki segera

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 OKT: Siapa yang tidak sedih menyaksikan jenazah saudara sendiri mahu pun jiran tetangga terpaksa diusung menuruni satu persatu anak tangga dari tingkat 17.

Inilah keadaan yang terpaksa ditempuhi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Shah Alam setiap kali ada kematian di pangsapuri tiga blok itu.

Lif Dewan Suaran Rosak 1Salah seorang penduduk pangsapuri terbabit, Muhammad Shahid Jusoh, 30, berkata keadaan ini turut menyukarkan pergerakkan warga tua dan juga tatkala berlaku kecemasan.

“Bukan masa ada kematian sahaja tetapi kalau berlaku kecemasan seperti orang sakit dan sebagainya macam mana paramedik atau anggota keluarga nak bawa turun pesakit?,” kata Muhammad Shahid ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

ShahidSelain itu penduduk pangsapuri PPR itu juga terpaksa menahan bau busuk akibat limpahan sampah di tempat pembuangan sampah dan saluran najis tersumbat.

“Ini bukan baru terjadi. Dulu ada tiga tong sampah besar disediakan tapi entah kenapa sekarang hanya tinggal dua sahaja dan menjadikan lebih teruk, kontraktor pula tidak ambil sampah setiap hari,” kata Muhammad Shahid lagi.

Jelas beliau kepadatan penduduk pangsapuri yang mempunyai kira-kira 1,000 unit kediaman menyebabkan dua tong yang disediakan tidak mencukupi.

“Kalau tak silap saya, PPR yang kami duduki ini sekarang di bawah Lembaga Perumahan Selangor dan oleh itu kami berharap sangat pihak berkenaan ambil tindakan segera,” kata beliau lagi.

Sementara itu Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad dalam reaksinya berkata, kerja-kerja membaiki lif sedang dijalankan.

“Ini adalah isu asas masyarakat yang mendiami bangunan bertingkat yang kami pandang serius.

“Ketika ini baik pulih lif sedang berjalan dan manakala tentang bau busuk sampah dan saluran najis saya akan minta Lembaga Perumahan ambil tindakan segera,” kata beliau kepada Selangor Kini.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.