Categories
SELANGOR

Rampas tanah jika dijadikan lokasi pembuangan sampah haram

Oleh: Naeem Raffi

KLANG, 27 OKT : Kerajaan Negeri berharap satu pendekatan proaktif dan tegas bagi menangani masalah pembuangan sampah haram di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata masalah sampah haram berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab kontraktor yang membuang sampah dilokasi tidak sepatutnya.

Lawatan kerja YB Ean Yong ke tapak sampah haram Jalan Sungai Saim Klang (7)“Tiada tempat pembuangan sampah bukan isunya, masalah ini berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab kontraktor sampah persendirian yang ingin menjimatkan kos mengambil jalan mudah.

“Kerajaan Negeri akan lebih tegas mendepani masalah pembuangan sampah haram termasuk mengawal salah laku kontraktor sampah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat lokasi pembuangan sampah haram di Jalan Johan Setia, di sini hari ini.

Dalam program turun padang ke Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu juga, Ean Yong turut dibawa melawat tapak pembuangan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Rantau Panjang, Jalan Kebun Nenas, Taman Sentosa dan Jalan Telekom, Johan Setia (Bersebelahan Lebuhraya Kesas)

Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) MPK, Datuk Mohammad Yacob.

Tinjauan Selangor Kini mendapati selain sampah domestik, sisa binaan dan sisa kilang turut memenuhi lokasi pembuangan sampah haram itu.

Lawatan kerja YB Ean Yong ke tapak sampah haram Kg. Johan Setia (3)Ditanya sama ada kontraktor MPK terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram di wilayah itu, beliau berkata, MPK belum mempunyai bukti mencukupi berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia berlaku.

“Siasatan masih dijalankan, sekiranya MPK mempunyai maklumat dan bukti cukup kontraktor lantikan kami terlibat aktiviti haram ini, mereka akan dikenakan tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Ean Yong mengesa MPK memperhebatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam usaha mencegah dan memulihara kesemua lokasi sampah haram itu.

Katanya dalam kes di Jalan Johan Setia, ia melibatkan tanah persendirian, dicadangkan MPK merampas tanah itu (tanah persendirian) sebelum tindakan selanjutnya termasuk kerja membaikpulih kawasan itu diambil.

“Bagi kes di Jalan Kebun Nenas, ia adalah jalan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan saya minta MPK untuk tingkatkan pemantauan bagi mengurangkan kes pembuangan sampah haram disitu.

“Manakala kes di Jalan Sungai Saim pula, ia melibatkan kawasan hijau hutan bakau dan Kerajaan Negeri akan menurunkan peruntukan kepada MPK untuk menjalankan usaha memulihara kawasan rezab itu,” katanya.

EZY

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.