Categories
SELANGOR

Walkathon Mesra Alam semai kesedaran urus sungai 18 Oktober

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menjemput orang ramai ke program Walkathon Mesra Alam dan Pemeliharaan Sungai Langat dalam usaha menyemai kesedaran awam berkenaan kepentingan pengurusan sungai.

Program terbabit akan diadakan di Taman Awam, Jabatan Sultan Abdul Samad, Banting dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor, pada 18 Oktober ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, penganjuran program itu dilaksanakan sebagai satu inisiatif progresif dalam memperindahkan imej taman awam di tebing Sungai Langat.

BANNER WALKATHONKatanya, program itu sekali gus untuk menjadikan kawasan terbabit sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“MDKL juga berharap program ini dapat menyemai kesedaran awam berkenaan kepentingan melindungi serta mengurus sungai bagi kegunaan masa kini dan generasi yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, program terbabit turut memfokuskan aspek perkongsian pintar antara ‘stakeholders’ di samping memenuhi sasaran pelan induk Local Agenda 21 MDKL.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya membuat lukisan mural dinding bertemakan pemeliharaan sungai, walkhaton mesra alam dan pertandingan kitar semula.

Selain itu, aktiviti menanam 50 spesis pokok, melepaskan 500 benih anak ikan siakap, pembersihan kawasan sungai dan darat, serta pertandingan mewarna kanak-kanak tadika berumur lima hingga enam tahun.

DSC_0402“Kita mensasarkan golongan belia terutama penduduk sekitar dengan membuka penyertaan kepada awam secara percuma.

“250 penyertaan awal akan mendapat kemeja-t dan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai bagi tempat pertama RM350, kedua (RM250), ketiga (RM150) dan tempat keempat hingga kesepuluh RM100 serta hadiah cabutan bertuah iaitu TV LED, basikal serta barangan elektrik.

“Orang ramai diharapkan dapat meluangkan masa bagi menyertai dan menghayati program ini bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang sihat, di samping penekanan terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Belia dan Kemasyarakatan di talian 03-31803140.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.