Categories
SELANGOR

ABIM: Pendekatan Azmin selesai isu Bible umpama ‘good gorvenance’ Rasulullah SAW

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong penuh keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang secara secara rasmi memulangkan semula bible versi bahasa Melayu kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, pandangan dan inisiatif terbaik DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyelesaikan isu itu amat bijak serta nasihat dan halangan bagi memastikan kitab Bible itu tidak disebarkan di Selangor satu keputusan yang tepat.

“ABIM berharap semua pihak menghormati keputusan itu kerana kita percaya peranan istana cukup penting dalam melindungi kesucian Islam dan bangsa melayu termasuk menjamin keadilan sewajarnya kepada agama dan bangsa lain di Selangor.

IMG-20141114-WA0029“Istana dari dahulu lagi sudah membuktikan peranannya mendahulukan kesejahteraan rakyat berbandingsuara pelampau agama yang penuh dengan api kebencian,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Pada Januari lalu, JAIS mengambil lebih 300 kitab Injil berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara.

Tindakan itu dibuat mengikut Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dengan menghalang orang bukan Islam di Selangor menggunakan perkataan kalimah Allah.

Bagaimanapun, semua Bible itu dipulangkan semula kepada Pesatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Most Reved Archbishop, Datuk Bolly Lapok.

Majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang itu disaksikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah dan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam reaksinya semalam berkata, Kerajaan Negeri akan memberi jaminan corak pentadbiran berteraskan ajaran Islam kerana ia adalah agama rahmat untuk semua, selain menjadi teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan.

Katanya, walaupun kebebasan beragama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor.

“Pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor. Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya berikrar untuk memulangkan Bible itu kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.

“Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia menjadi realiti,” katanya.

amidiMengulas lanjut, Amidi memuji pendekatan Mohamed Azmin meletakkan Islam sebagai agama rahmat dan menyifatkan ia senafas dengan pendekatan ‘good gorvenance’ yang digunakan Rasulullah SAW di Madinah yang ternyata lebih menyatukan semua agama dan kaum.

Pihaknya juga percaya isu antara kaum dan agama dapat diselesaikan dengan baik tanpa campur tangan kelompok pelampau.

“Kelompok pelampau dari Islam dan Kristian) melihat isu ini dari kaca mata sentimen dan ia harus ditentang. Sebaliknya, isu seperti ini sewajarnya dilihat dari kaca mata perpaduan antara kaum dan agama seperti pendekatan Kerajaan Selangor.

“Dalam isu ini, istana juga menolak suara kelompok pelampau yang ternyata banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.