Categories
SELANGOR

Adun: Orang ramai tidak suka jualan borong minuman keras

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Cadangan sebuah syarikat menjual minuman keras secara borong di satu pasar raya di Bandar Baru Bangi mendapat respons negatif orang ramai khususnya masyarakat Islam di bandar berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Shafie Ngah berkata, respons jelas menunjukkan rasa tidak puas hati dan tidak bersetuju orang-ramai dengan tindakan syarikat berkenaan.

shafie ngah“Isu permohonan menjual arak di Bandar Baru Bangi sebagaimana yang telah disiarkan beberapa akhbar semalam (8 November) menunjukkan ada golongan masyarakat yang membantah permohonan itu,” katanya.

Shafie berkata, rujukan dibuat ke Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat mendapati ia adalah prosedur biasa mengenai keperluan sesebuah syarikat atau mana-mana pemohon menyiarkan cadangan permohonannya di akhbar tempatan untuk mendapatkan maklum balas orang awam.

“Proses baru bermula dan belum ada permohonan rasmi ke lembaga berkenaan,” katanya.

Pada 8 November lepas, Sinar Harian melaporkan, Pemuda Umno Serdang menyatakan bantahan keras terhadap permohonan lesen sebuah syarikat yang ingin menjadikan gudang pasar raya di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi sebagai stor menjual minuman keras secara borong.

Ketua Pemudanya, Ahmad Yani Ahmad Aziz berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai permohonan dibuat kepada Pengerusi Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat itu dalam bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu beberapa hari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.