Categories
SELANGOR

Biasiswa Sagong Tasi tingkat taraf pendidikan, kehidupan Orang Asal

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 NOV: Langkah Kerajaan Selangor mewujudkan Biasiswa Sagong Tasi khusus untuk pelajar Orang Asal di negeri itu mampu meningkatkan taraf pendidikan masyarakat golongan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berkata, hal itu disebabkan pelajar yang menerima biasiswa berkenaan akan lebih fokus kepada pelajaran tanpa perlu memikirkan sumber kewangan untuk membiayai pengajian mereka di kampus.

10352148_818857948178553_7046295858563244909_n“Kita tahu kerajaan Selangor prihatin terhadap pendidikan Orang Asal memandangkan di negeri ini ada 60 perkampungan terbabit. Maka, sebab itu mereka diambil peduli oleh kerajaan khususnya yang berpendapatan rendah supaya terjamin sumber kewangan untuk belajar.

“Cara ini akan membuatkan pelajar lebih fokus dengan pelajaran seterusnya dapat mengubah kehidupan masyarakat mereka apabila berjaya nanti,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata, anak Orang Asal yang mempunyai pendidikan yang baik juga mampu mengubah tanggapan sebagai golongan yang mundur oleh masyarakat luar.

Sementara itu, ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali pula menyifatkan langkah memperkenalkan Biasiswa Sagong Tasi adalah salah satu akses kepada Orang Asal menerima pendidikan lebih tinggi.

dr halimah“Semua kaum berhak ke atas akses pendidikan, maka kerajaan berkewajipan menunaikan tanggungjawab ini,” katanya.

Sementara itu, ketika menyentuh isu Sekolah Agama Rakyat, beliau menggesa Kerajaan Negeri meningkatkan lagi peruntukan bagi sekolah aliran terlibat.

“Saya berharap peruntukan sekolah agama rakyat ditambah kerana bilangannya hampir dua kali ganda dengan sekolah jenis lain dan tidak mendapat peruntukan langsung daripada pusat.

“Ini perlu sebagai menghormati hak dan pilihan ibu bapa yang memilih mahu menghantar anak mengikuti pendidikan agama seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.