Categories
KENYATAAN MEDIA

BIPPA: Pemulangan semula Bible oleh MAIS langkah terbaik tangani isu agama

Oleh: Dr Muhammad Nur Manuty

BIPPA mengalu-alukan langkah Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Dato Menteri Besar yang telah menyerahkan kembali 351 buah kitab Injil (Bible) berbahasa Melayu dan Iban (yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2 Januari lalu) kepada penganut Kristian hari ini.

Majlis penyerahan itu telahpun dibuat dihadapan Sultan Selangor dan disaksikan YAB Dato Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan beberapa pegawai tinggi agama dan kerajaan lain.

Kitab-kitab yang berkenaan telah diserahkan kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) yang diwakili Pengerusinya Acbishop Datuk Bolly Lapok.

Sesungguhnya, dengan langkah proaktif yang telah dilakukan ini, menjelaskan keprihatian dan kebijaksanaan DYMM Sultan Selangor dalam menyelesaikan ketegangan dan konflik antara agama yang tercetus sejak insiden rampasan ini berlaku. Dengan ini, kami dan rakyat menjunjung kasih kepada Duli Tuanku.

Dengan langkah yang dilakukan ini, juga dengan jelas membuktikan hakikat bahawa Islam itu adalah Agama Rahmatan lil ‘alamin (agama rahmah untuk seluruh alam) dan amat mementingkan keadilan semua tanpa mengira agama anutan masing-masing.

BIPPA Parti Keadilan Rakyat amat berharap agar kontroversi ini tidak digembar-gemburkan lagi. Semua pihak disarankan memanfaatkan pendekatan yang terbaik, berhikmah dan bijaksana, dalam meleraikan isu-isu seperti ini di masa depan.

Biarlah ia “bagaikan menarik rambut di dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus”.

Sesungguhnya, pendekatan dialog, perundingan dan perbincangan adalah jalan penyelesaian terbaik dalam menangani konflik di antara pelbagai agama di negara yang dicintai ini. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl: 125).

*Dr Muhammad Nur Manuty adalah Pengerusi Biro BIPPA, KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.