Categories
NASIONAL

China terus menekan Islam Xinjiang, 22 pemimpin agama dipenjara

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan China terus menekan masyarakat Islam Uyghur di wilayah barat Xinjiang apabila memenjarakan 22 pemimpin agama membabitkan pelbagai alasan antaranya rogol, ajaran memyalahi undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam, pada 10 November lalu.

Mereka bakal dipenjarakan antara lima hingga 16 tahun dan ada di kalangan pemimpin berkenaan digelar imam yang ganas dalam usaha memberi tekanan hebat kepada etnik berkenaan.

Memetik laporan The New York Times, 22 pemimpin agama itu juga dipenjarakan kononnya kerana terus melaksanaan program keagamaan walaupun sudah dipecat, menghasut kebencian kaum dan mengeksploitasi kepercayaan tahyul untuk melemahkan pelaksanaan undang-undang.

uyghur1Etnik Uyhgur menolak tindakan kejam itu dan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah keputusan yang dilaksanakan pihak berkuasa Xinjiang.

Hukuman itu adalah sebahagian daripada tindakan yang diambil pihak berkuasa Xinjiang terhadap pelampau agama yang bermula pada Mei lalu.

Antara tindakan lain yang dilakukan ke atas masyarakat muslim Xinjiang termasuk sekatan terhadap amalan Islam di luar masjid, pengharaman tudung bagi kaum wanita dan hukuman ke atas golongan muda yang memuat turun ucapan jihad dari laman sesawang.

Langkah itu dilihat sebahagian daripada operasi pembersihan etnik yang dilakukan kerajaan China terhadap masyarakat Uyghur di wilayah Xinjiang menyebabkan populasi kaum itu berkurang secara drastik sehingga 45 peratus setakat ini.

Antara modus yang digunakan adalah memindahkan rakyat Uyghur dan menggantikannya dengan imigran terdiri daripada kaum Han yang akan menjaga kepentingan republik itu di wilayah berkenaan.

uyghurPopulasi etnik Uyghur bukan sahaja dikurangkan, bahkan mereka juga mendapat layanan kerakyatan kelas ketiga dan terpinggir daripada sebarang kemajuan ekonomi.

Selain itu, pihak berkuasa Xinjiang juga sentiasa mengawal kebebasan beragama dan memantau pergerakan individu yang disyaki cuba melanggar peraturan yang ditetapkan.

Kebimbangan dan kekhuatiran kerajaan China untuk memberi mandat dan hak kepada rakyat Uyghur yang beragama Islam dipercayai mempunyai kaitan dengan kepentingan politik.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.