Categories
SELANGOR

Exco: Semak minit mesyuarat pampasan RM2.6 juta

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 NOV: Dr Ahmad Yunus Hairi berkata beliau perlu menyemak semula minit Mesyuarat Exco pada 27 September lalu berhubung pemberian pampasan bekas kakitangan pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjumlah RM2.6 juta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, beliau tidak pasti sama ada dalam mesyuarat ketika itu Exco meluluskan atau hanya dimaklumkan mengenai jumlah pampasan itu.

Dr Yunus HairiSecara peribadi beliau mengakui baru menyertai dua Mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji seminggu yang lalu.

Jelasnya, sudah menjadi amalan sekiranya sesuatu perkara dibincang dalam Mesyuarat Exco minggu ini ia akan disahkan pada mesyuarat seterusnya.

Katanya, jika soal pampasan itu sudah dimaklumkan ia bererti telah diluluskan oleh ahli lembaga pengarah agensi terlibat.

“Seingat saya kertas itu ada dibawa ke Mesyuarat Exco cuma tidak ada perincian dan pecahan.

“Menjadi amalan dalam Mesyuarat Exco kalau kita bawa minggu ini, ia akan disahkan dalam Mesyuarat Exco akan datang dan saya melihat kepada kertas itu,” katanya kepada media.

Menyentuh soal pembahagian pampasan itu Dr Yunus berkata pihaknya tidak tahu soal berkenaan dan hanya dimaklumkan mengenai jumlah pampasan sahaja.

Dalam reaksi sama beliau menjelaskan kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad yang menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini adalah pandangan peribadi.

Hal ini kerana tindakan selanjutnya masih belum dibincangkan di peringkat PAS Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.