Categories
NASIONAL

Sultan Pahang murka Palanivel tak cekap tangani banjir Cameron Highlands

SHAH ALAM 20 NOV: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah murka dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel yang tidak cekap mengurus tragedi banjir lumpur di Cameron Highland.

Sultan Ahmad Shah kecewa terhadap Palanivel dan menitahkan beliau segera mengambil langkah perlu bagi mengelak tragedi banjir lumpur berulang di Cameron Highlands.

banjircameron3“Apa yang Palanivel buat? Tiada apa. Rakyat di situ kini menderita secara mental dan fizikal apabila bencana ini berlaku.

“Rakyat telah mengundi dan memilih beliau pada pilihan raya lalu, tetapi adakah ini yang diberikannya kepada rakyat?” titah baginda dipetik Berita Harian hari ini.

Baginda juga menitahkan agar semua penerokaan tanah haram untuk pertanian di seluruh Cameron Highlands dihentikan serta-merta, selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membiarkan masalah itu berlarutan.

Sultan Ahmad Shah mengingatkan Palanivel agar memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat yang memilihnya dalam pilihan raya lalu atau berdepan risiko kehilangan undi pada pilihan raya akan datang.

“Beta rasa malu dengan kejadian ini. Beritahu menteri kamu supaya memberi keutamaan kepada kawasan sendiri terlebih dahulu,” titah baginda.

Dalam pada itu, G Palanivel menangkis dakwaan Sultan Pahang bahawa beliau tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menangani kes banjir lumpur di Cameron Highlands.

Dalam kenyataannya, Palanivel berkata masalah yang timbul itu perlu mendapat perhatian serius dan bukannya dengan mencari salah mana-mana pihak.

“Banyak perkara berlaku malah sebelum saya menjadi MP (Cameron Highlands)

“Namun saya yakin kami boleh memulihkan semula Cameron Highlands dan menghentikan kemusnahan besar alam sekitar yang berlaku,” kata Palanivel dalam satu kenyataan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.