Categories
NASIONAL

Google beri penghormatan kepada Allahyarham Mokhtar Dahari

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Google memberikan penghormatan kepada lagenda bola sepak Malaysia, Allahyarham Datuk Mohd Mokhtar Dahari dengan memaparkan karikatur beliau pada laman utama carian mereka sempena ulangtahun kelahirannya pada 13 November.

Karikatur Allahyarham yang lahir pada 13 November 1953 dipaparkan dengan reaksi mendepakan tangan sambil memakai jersi kebangsaan bernombor 10.

Gambar-Mokhtar-Dahari-Bersama-Maradona-1Allahyarham yang terkenal dengan jolokan ‘Super Mokh’ merupakan penyerang sensasi pasukan Selangor sejak 1972 hingga 1987 dengan rekod jaringan sebanyak 177 gol.

Sepanjang bersama Selangor, Mokhtar berjaya membantu pasukan tersebut menjulang Piala Malaysia sebanyak 10 kali.

Selepas menabur bakti bersama skuad The Red Giants, pemain kelahiran Setapak, Kuala Lumpur ini akhirnya membuat keputusan bermain di Kwong Yik Bank (sekarang RHB Bank) dan berjaya menghasilkan 20 jaringan.

Selain itu, beliau juga pernah menyertai pasukan Kelab Sultan Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) dan Talasco.

Bersama pasukan Malaysia, beliau bermain sebanyak 167 kali bermula dari 1972 dengan rekod 125 jaringan.

Sepanjang karier sebagai pemain profesional, Allahyarham Mokhtar pernah bermain menentang lagenda pasukan Argentina, Diego Maradona dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka pada tahun 1982.

supermokhBeliau ketika itu menjadi ketua pasukan Pilihan Selangor menentang Pilihan Boca Juniors yang berkesudahan Boca Juniors menang 2-1.

Mokhtar juga pernah menjaringkan gol penyamaan 1-1 untuk pasukan kebangsaan ketika menetang skuad England B yang dibimbing oleh lagenda Bobby Robson dalam satu perlawanan persahabatan pada 1978.

Allahyarham Mokhtar Dahari meninggal dunia pada 11 Julai 1991 di Pusat Perubatan Subang pada usia 37 tahun.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.