Categories
SELANGOR

Jelajah Kasih: Pengeluar kongsi pengalaman agihan zakat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 NOV: Program Jelajah Kasih Bersama Asnaf anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) menampilkan kelainan dengan membawa pengeluar zakat terdiri daripada syarikat korporat bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di seluruh Selangor.

Menurut sekretariat LZS, ia bertujuan memberi pendedahan aktiviti agihan secara langsung kepada pengeluar zakat, disamping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di negeri ini.

Lembaga-Zakat-SelangorPeserta delegasi terdiri daripada lapan syarikat korporat iaitu Glomac Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agro Bank Berhad, Altel Communication Sdn Bhd, MyEG Services Berhad, Worldwide Holding Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Selain mampu mendekatkan pengeluar zakat dengan asnaf, mereka juga berpeluang melihat realiti kehidupan golongan ini dalam menjalani rutin harian,” katanya.

Dalam program itu, peserta turut dibawa meninjau beberapa jenis perniagaan yang dijalankan oleh para asnaf yang telah menerima bantuan modal dari LZS.

Antaranya, Zolkifli Mat Desa yang menjalankan perniagaan soya, Ramlan Mohamad untuk perniagaan roti serta Nazri Abdullah yang menjalankan perniagaan cili giling.

“Mereka juga dibawa ke Kompleks Baitul Hasanah yang merupakan asrama bagi anak-anak asnaf fakir dan miskin di Selangor dan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor.

“Ia dibangunkan hasil daripada manfaat zakat di Selangor,,” kata kenyataan itu lagi.

Program itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Operasi Agihan LZS, Datuk Ibrahim Md Yusoff dan Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.

Leave a Reply

Your email address will not be published.