Categories
BERITA UTAMA

Mahasisiswa: Belanjawan Selangor menyeluruh

Oleh: Ku Hariz Farhan Ku Azman

PADA 24 November yang lalu, rakyat negeri Selangor menyaksikan pembentangan belanjawan tahunan negeri di bawah kepimpinan yang baharu yang diterajui oleh YB Azmin Ali selaku Menteri Besar bersama barisan Exco yang turut berubah posisi.

Belanjawan kali ini yang bertemakan ‘Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli’ menggariskan enam strategi utama iaitu:
1. Membesarkan lapisan kelas menengah.
2. Menjana pertumbuhan berkualiti.
3. Memberdaya ekonomi hawa dan generasi muda.
4. Pembangunan kejiranan hijau.
5. Menjana industri budaya dan intelektual.
6. Menyemarak ekonomi desa.

Sisi pandang menarik berkenaan dengan belanjawan ini adalah nisbah perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan membangun adalah hampir seimbang yakni jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,288,530,000 manakala perbelanjaan membangun adalah sebanyak RM1,133,970,000.

Situasi ini jarang-jarang kedengaran, hatta di peringkat Persekutuan sekalipun kerana meskipun Bajet 2015 yang lalu cuba mengambil konsep ‘People Economy’ namun perbelanjaan membangun masih lagi rendah berbanding dengan perbelanjaan mengurus.

Seterusnya bagi mencapai keadilan sosial dalam kalangan rakyat terbanyak, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program HIJRAH iaitu satu inisiatif kepada golongan berpendapatan rendah untuk menceburi bidang keusahawanan bagi mengeluarkan mereka dari lingkungan kemiskinan.

10801816_818849664846048_3237730925260679204_nPerincian kepada jenis bantuan yang diberikan perlu didedahkan agar skim ini tidak mengikut ‘skim ah long’ yang hanya memberi pinjam duit dan mengenakan faedah yang tinggi kepada peminjam. Hal ini kerana mentaliti kebanyakan dari kita yang menganggap bahawa skim ini hanya sekadar beri duit, apabila cukup tempoh perlu membayar balik jumlah yang dipinjam.

Selain itu industri pelaburan yang begitu rancak di negeri ini pastinya memberi 1001 manfaat dan faedah buat rakyat di negeri ini, khususnya dalam penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas. Namun, mengapa pekerja asing masih lagi mendominasi kebanyakan sektor-sektor pekerjaan di negeri ini.

Setiap kali penulis mengunjungi Shah Alam, Kajang mahupun bandar-bandar utama di negeri ini, dapat dicongak bahawa kita seolah-olah bukan berada di negera sendiri. Di manakah kesilapan dalam aspek ini?

Adakah faktor upah yang rendah yang ditawarkan oleh firma yang beroperasi di negeri ini menyebabkan mereka lebih selesa duduk beristirahat di rumah tanpa berusaha untuk mencari nafkah? Atau tiada suatu ‘pengikat’ atau inisiatif oleh Kerajaan Negeri buat firma tempatan mahupun global untuk membayar lebih upah dan mengutamakan pekerja tempatan, lebih-lebih lagi graduan universiti yang keluar saban tahun?

Saranan kepada pimpinan Kerajaan Negeri untuk duduk bersama dengan pihak pekerja dan tuan empunya firma yang beroperasi di negeri ini bagi membincangkan solusi terbaik bagi menangani masalah ini bersama.

Antara sektor yang mendapat perhatian istimewa adalah sektor pendidikan iaitu sejumlah RM60 juta diperuntukkan kepada UNISEL bagi melengkapkan infrastruktur dan fasiliti di universiti tersebut.

Selain itu, Tabung Biasiswa Selangor yang dikhususkan kepada anak Selangor dari desa diwujudkan bagi mereka yang menuntut di UNISEL dan KUIS dengan biaya sebanyak RM10 juta setahun. Pengiktirafan juga turut diberikan kepada kaum Orang Asli apabila Kerajaan Negeri menyediakan 10 tempat di UNISEL bagi melanjutkan pengajian mereka melalui sebuah tabung biasiswa yang dikenali sebagai Biasiswa Sagong Tasi.

Bagi meringankan beban mahasiswa UNISEL dan KUIS yang terpaksa bergantung kepada duit ibu dan ayah sebelum benar-benar mendapat bantuan biasiswa atau pinjaman, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor dengan jumlah sebanyak RM12 juta setahun.

Diharapkan semoga langkah yang sedikit ini dapat dilaksanakan secara berstrategi dan mengenai sasarannya sehinggalah dapat diimplementasikan di seluruh IPT di negeri ini, Insya Allah.

Langkah Kerajaan Negeri dalam usaha bagi menghasilkan lebih ramai rakyat yang berpendidikan tinggi selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan sekurang-kurangnya 60,000 pemegang ijazah Doktor Falsafah menjelang tahun 2023 dapat dilihat melalui pengenalan 10 jenis biasiswa bagi bidang-bidang pengajian yang strategik dan kritikal kepada anak Selangor dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Pastinya peluang ini sangat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan siswazah di negeri ini dan menjadi pemangkin semangat untuk mereka meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Di samping itu bagi melibatkan semua golongan seperti ahli akademik, mahasiswa dan rakyat negeri ini khususunya sebagai agen pembangunan, satu institut yang diberi nama sebagai Institut Darul Ehsan akan diwujudkan sebagai platform bagi merangka idea-idea bernas bagi pembangunan negeri ini.

Walau bagaimanapun, pengisian kepada penubuhan institut tersebut lebih penting daripada penamaannya yang gah tetapi dikhuatiri akan menjadi projek gajah putih, sebagai cadangan beberapa program boleh diwujudkan bagi menyerlahkan keberkesanan institut ini sebagai agen pemangkin pembangunan negeri yang progresif:

1. Sesi meja bulat di antara Exco Kerajaan Negeri dan ahli-ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sebanyak sebulan sekali bagi membincangkan isu-isu dan masalah yang berlaku di negeri ini.

2. Serampang dua mata di antara wakil Majlis Perwakilan Pelajar/Persatuan Mahasiswa Universiti IPT sekitar Selangor dengan Kerajaan Negeri bagi mendengar idea dan pandangan mereka terhadap polisi-polisi Kerajaan Negeri, program seperti Simposium Mahasiswa Selangor dan Hari Mahasiswa boleh dijadikan sebagai wadah terbaik untuk Kerajaan Negeri mendengar pandangan mereka.

3. Merapatkan kembali jurang di antara IPT khususnya IPTA di negeri ini dengan Kerajaan Negeri. Hal ini kerana tujuan universiti ditubuhkan adalah sebagai agen pengubah kepada sesebuah masyarakat dan ummah. Untuk itu, kedua-dua pihak perlu mengubah sikap dengan mengenepikan faktor politik dan perbezaan ideologi bagi menjayakan gagasan ini.

Antara skop belanjawan kali ini yang menarik perhatian adalah pengenalan program penterjemahan karya antarabangsa yang bakal menyaksikan penterjemahan karya-karya hebat dunia ke dalam Bahasa tempatan yang diketuai oleh PPAS.

Ia mengulangi tradisi keilmuan sewaktu zaman Kerajaan Abasiyyah yang menyaksikan penterjemahan kitab-kitab dari tamadun Rom, Parsi dan India ke dalam bahasa Arab oleh Baitul Hikmah selaku institusi yang menyelenggara projek tersebut dan menjadi faktor kegemilangan tamadun Islam pada waktu itu.

Sudah tentu ia ditunggu-tunggu oleh para pencinta buku di negeri ini yang mahukan supaya buku asing dapat diterjemahkan ke dalam bahasa sendiri.

Penulis yakin, jika usaha ini disokong padu oleh semua lapisan rakyat tidak mustahil dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang negeri ini mampu menjadi hab keilmuan terbaik bukan sahaja di negara ini, tetapi di rantau Asia Tenggara keseluruhannya.

Aspek lain yang perlu ditekankan adalah pembasmian masalah kebersihan dan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.

Alhamdulillah, Menteri Besar sendiri telah mengambil inisiatif meminta rakyat yang menghadapi masalah sampah di kawasan kediaman untuk memaklumkan kepada beliau melalui nombor telefonnya bagi diambil tindakan.

Tidak sekadar cukup itu, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu diperkasakan, ini kerana banyak aduan daripada rakyat yang kerap kali menyalahkan PBT atas alasan lambat bertindak dan kurang cekap dalam bekerja. Pemantauan tehadap PBT perlu dilakukan secara kerap supaya mereka sentiasa professional dalam gerak kerja mereka.

Diharapkan agar Kerajaan Negeri di bawah YB Azmin Ali dapat meneruskan budaya bekerja secara ‘Turun Padang’ bagi merealisasikan falsafah ‘Government; from people, to people, with people’.

Meskipun berbagai halangan dan rintangan yang bakal dihadapi di hadapan sana, namun dengan permuafatakan yang tinggi oleh semua pihak dan kebergantungan kepada Yang Maha Esa bakal menjadi resepi terbaik bagi melahirkan sebuah negeri yang baik dan mendapat pengampunan dari Allah SWT.

*Ku Hariz Farhan Ku Azman adalah Exco Media dan Penerangan, Majlis Permuafatakan Mahasiswa Selangor (MPMS)

Leave a Reply

Your email address will not be published.