Categories
KENYATAAN MEDIA

MAS perlu patuh syariah demi keberkatan perniagaan

Oleh: Burhanuddin Lukman

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) agar melaksanakan polisi patuh syariah dalam perniagaannya.

IKRAM turut berkongsi rasa kesal dan kecewa yang diluahkan rakyat Malaysia mengenai hidangan arak yang jelas haram mutlak dalam Islam.

masEkoran daripada isu yang dibangkitkan ini, IKRAM merasakan MAS patut mengambil peluang untuk menghentikan terus hidangan arak dalam pesawat. Amalan tidak menghidang arak dalam kabin telah lama dilaksanakan di beberapa syarikat penerbangan negara-negara Islam.

IKRAM juga menyeru supaya pihak pengurusan MAS yang ada sekarang ataupun yang baru kelak menekankan amalan patuh syariah seperti tidak menghidang minuman keras dalam penerbangan dan mengizinkan pakaian menutup aurat bagi pramugarinya.

IKRAM yakin keberkatan pada rezeki dan perniagaan perlu diberi keutamaan. Dengan itu, MAS tidak perlu sangsi dengan amalan patuh syariah seperti tidak menghidang minuman keras kerana ia mengundang keberkatan rezeki dan keuntungan pada perniagaan yang dijalankan.

IKRAM juga yakin tindakan menghentikan hidangan arak akan meningkatkan sokongan rakyat Malaysia dan pelanggan daripada kalangan umat Islam di peringkat antarabangsa untuk memilih perkhidmatan MAS, bahkan daripada kalangan khalayak umum, MAS akan dilihat serius dalam melaksanakan sistem pengurusan yang lebih baik dan profesional serta sentiasa bersedia menerima maklum balas pelanggan dengan sikap positif.

Dengan penambahbaikan yang murni dan menepati syariah ini, IKRAM menyeru seluruh rakyat Malaysia terus membantu dan menyokong MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan ulung negara dan tidak nampak tindakan memulaukan MAS menguntungkan mana-mana pihak.

*Burhanuddin Lukman adalah Pengerusi Jawatankuasa Ulama IKRAM

Leave a Reply

Your email address will not be published.