Categories
SELANGOR

MB arah pengurusan baru MBI siasat pampasan RM2.6 juta

SHAH ALAM, 20 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengarahkan pengurusan baru Menteri Besar Incorporated (MBI) yang bakal melapor diri bermula 1 Disember ini untuk melakukan siasatan terhadap laporan audit isu pampasan sebanyak RM2.6 juta.

Mohamed Azmin berkata wujud salah kuasa dalam pemberian pampasan sebanyak RM2.6 juta kepada lapan orang bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga ahli lembaga MBI.

MBIKatanya, kesalahan yang dilakukan pengurusan terdahulu MBI itu adalah ketara dan ia bukan sahaja membabitkan nilai pampasan malah proses pembayaran juga.

“Ya, terlalu jelas wujud salah guna kuasa bukan sahaja dari segi jumlah malah proses pemberian pampasan.

“Penyaluran ganti rugi kepada lapan orang ahli lembaga MBI itu dilakukan serta merta dan ia jelas meragukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini, dipetik Sinar Harian.

Mohamed Azmin berkata sekiranya hasil siasatan jelas mendapati perkara itu melanggar peraturan, salah guna kuasa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kita tidak akan sembunyikan fakta malah tidak akan berkompromi dengan salah guna kuasa.

“Semua perkara harus diselesaikan mengikut proses. Beri saya masa untuk selesaikan semua kemelut,” katanya.

Mohamed Azmin dalam pada itu berkata pihaknya melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) terdiri daripada kalangan profesional untuk menerajui pengurusan baru MBI.

Katanya, beliau enggan melantik orang politik untuk menguruskan MBI berikutan aset perbadanan itu terlalu besar.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.