Categories
SELANGOR

MB: Kemelut isu Bible masih dalam perbincangan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SEPANG, 7 NOV : Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memaklumkan isu pengambilan Bible dalam bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Januari lalu masih sedang dalam perbincangan.

Beliau berkata setakat ini belum ada keputusan yang dicapai berhubung perkara itu, namun pihaknya yakin ia akan diselesaikan secara baik bagi menjaga keharmonian di Selangor.

PC isu air dicemari diesel-MB (3)“Perkara itu masih dalam perbincangan bagaimana kita boleh selesaikan masalah ini secara baik untuk menjaga keharmonian di Selangor dan ia juga mesti selaras dengan tuntutan agama Islam yang menuntut kita menghormati semua agama.

“Maka (semua) ini juga harus diteliti dan masih dalam proses perbincangan, belum ada keputusan lagi.

“Walaubagaimanapun kita akan teruskan perbincangan untuk selesaikan dengan baik,” katanya kepada pemberita sempena program turun padang di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin memaklumkan akan merujuk kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan usaha untuk menyelesaikan isu pengambilan Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah.

Malah katanya, beliau turut mengadakan perbincangan bagi mendapatkan pandangan daripada Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya ia dapat ditangani secara harmoni dan baik.

Terdahulu, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menggunakan pendekatan sama dalam menyelesaikan isu ini tetapi belum mencapai sebarang kata putus.

Pada Januari lalu, Jais mengambil lebih 300 kitab Injil berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara.

Jais berkata, tindakan itu dibuat mengikut Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dengan menghalang orang bukan Islam di Selangor menggunakan perkataan kalimah Allah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.