Categories
SELANGOR

Pemulangan Bible: MB jamin pentadbiran sokong kesederhanaan & keadilan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini secara rasmi memulangkan semula Bible versi bahasa Melayu kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Majlis itu disaksikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah dan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

IMG-20141114-WA0029Kesemua 351 Bible yang mengandungi perkataan ‘Allah’ yang diambil awal tahun ini dipulangkan kepada Pesatuan Gereja – gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Most Reved Archbishop Datuk Bolly Lapok di Istana Alam Shah, Klang pagi ini.

Mohamed Azmin dalam kenyataannya memberi jaminan corak pentadbirannya akan terus menyebarkan ajaran Islam memandangkan Islam adalah rahmat untuk semua manusia selain menjadi teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan.

“Pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor.

“Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya telah berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.

“Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia telah menjadi realiti,” katanya.

Turut hadir sama Setiausaha Agung ACS Elder Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Rev Dr. Herman Shastri.

Acara itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada DYMM Sultan Selangor yang memberikan pandangan dan inisiatif terbaik untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama.

“Semua pihak yang terlibat, terutamanya MAIS dan ACS telahpun mencapai satu penyelesaian yang baik dalam isu Bible ini menerusi usaha ikhlas dan keyakinan untuk menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohammad Adzib Mohd Isa dan Most Revd Archbishop Datuk Bolly Lapok kerana melakukan yang terbaik demi memastikan hal ini diselesaikan dengan cara paling baik sekali,” tambahnya lagi.

Katanya, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri ini.

Walau bagaimanapun, seperti kebebasan beragama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Negeri Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.