Categories
NASIONAL

PKR: Turunkan harga minyak sebelum 1 Disember atau demo 31 Disember

SHAH ALAM, 18 NOV: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran jika Kerajaan Pusat enggan menurunkan harga bahan api menjelang 1 Disember.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, demonstrasi itu akan diadakan pada 31 Disember ini di Dataran Merdeka, jika harga petrol RON95, RON97 dan diesel masih tidak diturunkan.

MinyakKatanya, Kerajaan Pusat mengumumkan harga minyak RON95 akan diturunkan jika harga minyak mentah dunia turun pada paras antara US$70 hingga US$75 setong, pada 23 Disember lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslah berkata, penurunan harga itu boleh dilaksanakan kerana sudah melepasi kadar subsidi yang ditanggung kerajaan.

“Barisan Nasional (BN) diingatkan berlaku adil dengan rakyat,” kata Rafizi dalam kenyataan media.

Katanya, jika harga petrol dan diesel dinaikkan apabila harga minyak mentah naik di pasaran dunia, maka adalah adil harga petrol dan diesel diturunkan apabila harga minyak mentah turun di pasaran dunia.

Apatah lagi harga RON97 adalah harga pasaran seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Harga RON97 sekarang ditetapkan ketika harga minyak mentah dunia masih lagi sekitar USD105 setong.

“Dengan penurunan sehingga 20 peratus harga minyak mentah di pasaran dunia sejak dua bulan lalu, seharusnya harga RON97 juga perlu turun 20 peratus,” katanya dalam kenyataan media.

Kata Rafizi, menurunkan harga petrol dan diesel sekarang akan menguji kebenaran hujah ekonomi BN sebelum ini kononnya apabila GST dilaksanakan, cukai GST yang boleh dituntut semula peniaga akan menyebabkan harga barang akan turun.

“Jika harga petrol dan diesel diturunkan sekarang, harga barang tetap tidak akan turun lalu membuktikan bahawa hujah BN berkenaan GST tidak boleh diterima pakai,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.