Categories
SELANGOR

Selangor bina lebih banyak rumah mampu milik 2015

Oleh: LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 15 NOV: Kerajaan Negeri akan terus memberikan komitmen untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, hasrat itu selaras dengan aspirasi Pakatan Rakyat (PR) yang sentiasa menjunjung tinggi dasar peduli rakyat.

Katanya, selain soal pendidikan, skim pembinaan rumah rakyat juga akan diberi perhatian khas dalam Belanjawan Selangor 2015 yang bakal dibentangkan, pada 24 November ini.

Meraihkan pembeli Pangsapuri Selangorku Idaman PKNS MB (7)“Kita juga bukan sekadar melancarkan projek perumahan tetapi siapkan dengan anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberikan subsidi sehingga RM12 juta kali ini.

“Ini beza dengan Kerajaan Pusat yang umumkan 80,000 rumah mampu milik tetapi sehingga kini tiada kerana kos tanah mereka tinggi.

“Kita punya kelebihan tanah, yang mana kita akan bangunkan balik untuk rakyat Selangor bukannya untuk diterokai dan dirosakkan” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Meraikan Pembeli Pangsapuri Selangorku Idaman PKNS Damai Residensi di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini pagi tadi.

Hadir sama adalah Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad; Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nordin Sulaiman.

Damai Residensi adalah projek pertama rumah mampu milik Selangorku PKNS dengan 124 unit ditawarkan termasuk empat unit khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

azminPada masa sama, Mohamed Azmin mengingatkan pembeli untuk menjaga dengan baik unit rumah yang ditawarkan.

“Kita harap dapat kerjasama untuk membayar yuran penyelanggaraan supaya dapat memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan tempat tinggal kita.

“Harap juga jangan dijual unit ditawarkan kerana bukan mudah untuk mendapat hartanah di kawasan strategik seperti ini dengan harga yang cukup istimewa,” katanya.

Pangsapuri Damai Residensi ditawarkan dengan harga serendah RM60,000 hingga RM90,000 sahaja berbanding nilai semasa sebanyak RM250,000 hingga RM300,000.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.