Categories
SELANGOR

Skim sewa milik bantu pembeli gagal dapat pinjaman bank bakal dilancar

SHAH ALAM 18 NOV: Kerajaan Selangor akan melancarkan skim sewa milik untuk pembeli rumah kos rendah yang gagal mendapat pinjaman bank.

Exco Perumahan, Pengurusan Dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, menerusi skim itu kerajaan negeri melalui Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSB) akan membeli rumah kos rendah dan menyewakannya kepada pembeli.

pic laporan khas - perumahan“Setelah dua tahun menyewa, mereka boleh membuat pilihan untuk membeli rumah itu.

“Sebahagian dari sewa yang dibayar sepanjang tempoh tersebut akan ditolak dari harga rumah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya lagi, pembelian selepas tempoh menyewa dua tahun itu adalah dengan membuat pinjaman dari bank.

“Namun jika mereka masih belum mampu membuat pinjaman bank, mereka boleh terus menyewa sehingga mereka mampu.

“Mereka juga boleh menyewa sehingga bayaran sewa mereka dapat menampung keseluruhan harga rumah,” tambah beliau.

Kerajaan Negeri katanya memperuntukkan RM10 juta untuk fasa pertama program itu dan majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar ,Mohamed Azmin Ali pada 24 November ini.

Program ini yang dinamakan Dana Sel adalah terkandung di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke-13.

Ianya di bawah program untuk mewujudkan skim pinjaman perumahan Kerajaan Negeri dan memperbanyakkan jumlah rumah sewa untuk membantu rakyat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.