Categories
SELANGOR

Wan Azizah: Kemudahan sukan DUN Kajang dimajukan

Oleh: NAEEM RAFFI

KAJANG, 30 NOV: Kekurangan penganjuran kejohanan sukan di peringkat belia di DUN Kajang sebelum ini menjadi antara inti pati utama penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Adun Kajang yang membuka tirainya, hari ini.

Adun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata usaha tersebut diambil bagi mengembalikan populariti sukan tradisi itu yang kini semakin malap.

SKatanya, penganjuran program sukan dan kesihatan sebegini akan diperhebatkan lagi.

“Ini adalah permulaan, selepas ini kita akan memperhebatkan lagi kejohanan sukan lain dalam menyemarakan budaya hidup sihat.

“Tidak seperti dahulu, sepak takraw kini kurang diminati. Oleh sebab itu kita anjurkan kejohanan ini yang antara lainya adalah untuk mempromosi kembali sukan tradisi ini di kalangan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Adun Kajang di Kompleks Penghulu di Kampung Batu 10, di sini.

Sekurang-kurangnya 35 pasukan mengambil bahagian dalam pusingan kalah singkir bagi merebut piala dan wang tunai bernilai RM500 bagi pemenang tempat pertama.

Manakala, pemenang tempat kedua akan membawa pulang wang tunai RM300, tempat ketiga RM200 dan keempat RM100 beserta pingat.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata pihaknya dalam usaha membangunkan kemudahan sukan di kawasan tersebut.

Ini kerana, kemudahan sukan awam di Kajang Utara ini belum dibangunkan dan penduduk dikawasan berkenaan terpaksa keluar untuk bersukan.

“Dalam usaha kita mengajak rakyat untuk sihat dan bersukan, kita juga perlu pastikan kemudahan sukannya ada.

“Saya akan panjangkan keperluan ini kepada exco belia dan sukan untuk membina satu kemudahan sukan dikawasan ini,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.