Categories
SELANGOR

Kunjungi Agrofest 18-21 Dis, idea kembangkan bisnes tani

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Pengusaha industri pertanian disarankan supaya mengunjungi Selangor Agrofest 2014 yang bakal dilangsungkan pada 18-21 Disember ini.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata pameran teknologi yang diperkenalkan dapat memberikan idea kepada pengusaha pertanian mengembangkan penghasilan produk pertanian mereka sekaligus membawa pulangan keuntungan lebih besar.

1476006_10205233571869991_8158336575113487315_n“Kita minta petani datang ke Selangor Agrofest kerana disana ada pameran dari segi sudut teknologi pertanian. Petani akan didedahkan dengan teknologi baru,” katanya pada Karnival Jelajah Tani 2014 di Dun Ijok.

Selain itu katanya, petani dapat bertukar pandangan bersama pakar pertanian dan penternakan di Negeri Selangor bagi mendapatkan nasihat terbaik terhadap industri.

Dalam Karnival Jelajah Tani 2014 di Dun Ijok semalam, Zaidy yang juga Adun Templer turut menyerahkan surat pengesahan pemberian bantuan enjin bot dan perahu kepada beberapa nelayan sambil disaksikan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Sulaiman Abd Rahman serta Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Rosalan.

Beliau turut menanam sebuah pokok durian belanda sebagai simbolik perasmian.

Zaidy sebelum itu mengadakan lawatan sama di Dun Sekinchan dan dibawa melawat ke kilang beras oleh Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Penganjuran Jelajah Tani 2014 di Dun Ijok ini merupakan penganjuran kali keempat selepas penganjuran kali pertama di Dun Tanjung Sepat pada 16 November lalu.

Selangor Agrofest 2014 dijadualkan berlangsung pada 18 – 21 Disember 2014 di Stadium Sungai Besar.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.