Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

100 HARI: Penyelesaian tuntas lagi pantas, pelbagai kontroversi berakhir

Oleh:  MOHD EZLI MASHUT

Sekurang-kurangnya ada tiga keresahan rakyat di sebalik pengiktirafan umum terhadap kewibawaan pentadbiran Kerajaan Selangor sejak 2008.

Dan ia berlarutan rumit tanpa penyelesaian ampuh serta jauh dari penyelesaian tuntas sekali gus membuktikan ada kelompongan yang dikhuatiri melebar jika tiada formula mujarab.

Namun, Mohamed Azmin Ali – bagaikan silap mata, menterbalik keresahan itu kepada keceriaan dalam tempoh singkat, dengan matang dan bijaksana.

DSC_0012Paling ketara, kontroversi isu pemulangan semua 351 al-Kitab mengandungi kalimah ‘Allah’ selesai ketika kebanyakan pihak berkaitan seakan-akan tidak lagi menaruh harapan.

Semua al-Kitab yang diambil Jabatan Agama Islam Sela-ngor (JAIS) awal tahun 2014 dipulangkan kepada Persa-tuan Gereja? Gereja Sarawak (ACS) pada 14 November lalu – kurang 80 hari pentadbiran baharu.

Acara bersejarah itu berlaku ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Most Reved Archbishop Datuk Bolly Lapok mengadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Kebijakan Mohamed Azmin melerai kemelut itu dengan kerjasama Istana Selangor mendapat sanjungan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), apatah lagi wujud kekhuatiran betapa masalah boleh membawa kepada pertelingkahan agama yang serius.

Sebaliknya, kontroversi yang boleh membawa kepada isu kronik dan berpanjangan itu bertukar menjadi landasan titik tolak kepada amalan perpaduan kaum dan toleransi agama.

Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan menyifatkan keputusan itu penting dalam melindungi kesucian Islam dan Melayu bagi menjamin keadilan kepada agama dan bangsa lain.

Penyelesaian itu secara tidak langsung mengangkat reputasi Islam sebagai agama ‘Rahmatan lil ‘alamin’ yakni agama rahmah untuk seluruh alam, apabila menjulang keadilan tanpa mengira agama anutan.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhammad Nur Manuty me-nganggap langkah  itu membuktikan hakikat Islam mementingkan keadilan semua tanpa mengira agama.

Beliau juga menganggap pemulangan itu sebagai menyelesaikan ketegangan dan konflik antara agama yang tercetus sejak insiden berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua sendiri kagum dengan kepintaran Mohamed Azmin yang menyelesaikan konflik itu dalam suasana muhibbah.

“Kegagalan pentadbiran terdahulu dalam tempoh sembilan bulan berjaya diselesaikan Mohamed Azmin hanya dalam waktu kurang 60 hari,” kata Tony Pua.

Ini sekali gus membawa mesej kepada masyarakat bukan Islam betapa pemulangan itu menjadi titik permulaan ke arah Malaysia negara mengamal kesederhanaan.

Sungguhpun ada pihak tertentu mahupun segelintir media tempatan cuba mengha-ngatkan kembali kontroversi itu, Mohamed Azmin bijak menepis dengan tidak melayan provokasi sedemikian.

kidex1Satu lagi kontroversi yang tidak kurang hangatnya ialah isu kelulusan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) bernilai RM2.2 bilion.

Ia dibantah penduduk Petaling Jaya kerana bimbang pembinaan lebuh raya sepan-jang 14 kilometer itu bakal memusnahkan alam sekitar selain menyebabkan harga hartanah merudum.

Perselisihan itu bertambah gamat dipercayai berikutan tiada perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dan Ke-rajaan Selangor sebelum ini.

Sebaliknya, itulah antara perkara pertama dilakukan Mohamed Azmin bagi menangani masalah itu, melalui pendekatan berbeza berbanding kepimpinan sebelum ini.

Secara tegas, beliau me-netapkan tiga syarat untuk dipatuhi – tambahan terma baru yang perlu dipatuhi sebelum perjanjian konsesi berakhir 15 Februari 2015, sebelum mempertimbang kelulusan projek berkenaan.

Pertamanya, pemaju, Kidex Sdn Bhd perlu memberi secara terperinci perjanjian konsesi bersama Kerajaan Pusat Dua syarat lain ialah pengumuman menyeluruh cadangan kadar tol dan pulangan projek Kidex termasuk pemilikan saham syarikat dan bukti keseluruhan kesan penilaian projek itu memberi manfaat kepada pengguna mahupun penduduk Petaling Jaya.

Keputusan itu sekaligus menunjukkan kerajaan Selangor bukan menolak pemba-ngunan apatah lagi berbentuk jaringan jalan raya kepada rakyat, asalkan dilakukan secara terbuka dan telus.

Satu lagi kebimbangan rakyat yang sedikit sebanyak menjejaskan kewibawaan Kerajaan Selangor ialah isu penstrukturan air lantaran ia adalah salah satu asas kehidupan manusia.

Namun, keresahan itu patut dilupakan lantaran proses penstruturan air kini di peringkat akhir untuk dimuktamad sekaligus mengembalikan hak pengurusan air kepada rakyat Selangor dan mengakhiri era penswastaan.

Azmin AirKejayaan pembelian saham Puncak Niaga Holding Berhad (PHNB) melalui anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuka lembaran baru.

Pembelian itu membabitkan dua syarikat pemegang konsesi air iaitu Syarikat Bekal-an Air Selangor (Syabas) dan Permodalan Nasional Sdn Bhd (PNSB).

Ia sejajar dengan syarat Perjanjian Induk Penstrukturan Air Selangor bertarikh 12 September lalu yang dimeterai antara Kerajaan Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Bermakna, sebahagian besar operasi dan aset air kembali kepada rakyat sekali gus membolehkan Air Selangor mengambil alih dan menyu-sun semula semula operasi Syabas dan PNSB.

Tumpuan utama kini diberi kepada strategi mengurangkan kadar air tidak berhasil dan memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan.

Kejayaan penstrukturan air bakal meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan responsif kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Selangor kini akan memuktamad pengambil-alihan dua lagi syarikat konsesi iaitu Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Mohamed Azmin bertekad untuk memastikan usaha itu memberi nilai terbaik kepada rakyat walaupun beberapa perkara utama seperti kos dan terma pengambilalihan empat syarikat konsesi sudah diputuskan sebelum ini.

Ini termasuk memastikan pembinaan Projek Langat 2 baik dari segi kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan dinilai secara objektif oleh wakil Kerajaan Negeri supaya tiada pembaziran.

Berikutan kejayaan, Kerajaan Selangor mempertimbang meningkatkan pemberian air percuma kepada 40m3 selepas penstrukturan industri air Selangor dimuktamad kelak.

Cadangan yang melonjak kebajikan sejak amalan pemberian air percuma 20m3 sejak 2008, sedang disemak semula sebelum sebarang keputusan membantu mengurangkan beban rakyat, dibuat.

Ketiga-tiga keresahan itu yang mungkin menyalakan kemudaratan bukan kepalang ternyata dapat diatasi melalui pendekatan strategik dan berhemah melalui kebijakan pentadbiran pimpinan Mohamed Azmin.

Tiap masalah yang boleh memercikkan kontroversi tidak dibiar berlarutan dan ia dapat mengelak dari terjebak dalam polemik isu tidak berkesudahan ketika rakyat laparkan jaminan keharmonian, keselesaan kalaupun bukan kesempurnaan.

Tangani isu sampah, banjir dan denggi

Di samping penyelesaian isu utama itu, Kerajaan Selangor juga menangani isu lain seperti masalah sampah, banjir, wabak denggi dan pemilikan tanah.

Dalam isu sampah, Mohamed Azmin memberi tempoh tiga bulan berakhir Disember 2014 untuk diselesaikan segera, malah memberi nombor telefon bimbitnya supaya aduan boleh terus disalur kepadanya.

Peruntukan tambahan RM20 juta juga diluluskan bagi memastikan matlamat penyelesaian isu sampah itu dicapai.

Peruntukan khas diberi kepada PBT yang kekurangan dana termasuk penyaluran RM1.5 juta kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Semua kontraktor sisa pepejal mesti mematuhi jadual kutipan sampah domestik dan pembersihan awam melalui pemantauan berterusan.

Ketegasan PBT perlu dan mereka akan memberi notis, malah menamat perkhidmatan kontraktor yang gagal melaksanakan tugas dengan baik, selain mengenal pasti kawasan bagi tambahan unit tong sampah.

Beberapa longgokan sampah haram di bahu jalan dan kawasan lapang turut dikenal pasti, malah Mohamed Azmin turut menerjah dengan memeriksa lori sampah haram.

Masalah banjir di Kajang pula dijangka selesai berikutan kelulusan peruntukan RM5.5 juta baru-baru ini sejurus selepas Mohamed Azmin meninjau lokasi banjir di Pasar Kajang.

Tender kerja itu dimulakan awal 2015 dan kerja menaik taraf sungai dijadual seawal Mac 2015.

Kerja menaik taraf itu melibatkan kerja melebar sungai dari lapan kepada 12 meter selepas beberapa gerai di tanah rizab sungai dipindah ke tanah rizab Kerajaan Negeri.

Kerja penambahbaikan dimulakan dengan mendirikan tembok penahan banjir di hadapan Pasar Kajang dan mendalamkan sungai bagi mengurangkan kesan bencana alam itu.

Dalam isu denggi, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat, sekalipun berbeza fahaman politik, bekerjasama memerangi wabak berkenaan.

Bagi Selangor, kaedah terjah dan musnah diamal, malah diperluas ekoran kes itu paling membimbangkan di Selangor.

Kesungguhan kepimpinan utama negeri ternyata memberi keutamaan kepada penyelesaian isu mengangkat hak rakyat seadil-adilnya tanpa mengira agama dan kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published.