Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 3 DIS: Rakyat menyambut baik usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan konsep rumah mampu milik Selangorku dan menggesa pelaksanaan pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani isu membabitkan perumahan di Selangor.
Bagaimanapun, mereka berharap pembinaan rumah mampu milik berkenaan tidak hanya tertumpu di kawasan pinggir atau luar bandar.
Tahir Saleng, 38, berkata Kerajaan Negeri juga harus menumpukan usaha membina rumah di kawasan bandar utama negeri itu seperti di Shah Alam dan Subang Jaya.
“Tanah di bawah Kerajaan Negeri, bagi saya tiada masalah untuk laksanakan konsep sebegini.
“Persoalannya sama ada mahu tolong rakyat atau hanya buat keuntungan hartanah,” katanya.
Pada masa sama, tindakan bijak Kerajaan Negeri menyelesaikan 51 projek rumah terbengkalai di Selangor turut dipuji.
Mengulas usaha itu, Norlela Idris 30, berharap Kerajaan Negeri akan menggariskan syarat lebih ketat dalam projek pembinaan rumah selain menyenarai hitam pemaju yang mempunyai rekod buruk.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga boleh mengambil inisiatif membina rumah transit seperti dilakukan Kerajaan Singapura.
“Dengan itu, bukan sahaja memberi kelebihan kepada penyewa tetapi mampu memberi keuntungan dan pulangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
-NFN-