Categories
SELANGOR

FAS gagal kendali kontrak pemain, Kerajaan Negeri terpaksa bantu RM2 juta

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ekoran kegagalan pihak pengurusan mengendalikan kelulusan kontrak pemain mengikut prosedur.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri terpaksa membayar dan membantu menanggung kos pemain bagi memastikan prestasi mereka kekal cemerlang sebagai kerajaaan bertanggungjawab.

bola selangor“Berhubung peruntukan dana FAS, kita bersedia untuk menambah dan menolak atas keperluan serta kehendak semasa.

“Untuk tahun ini sahaja, daripada belanjawan yang diberikan kita peruntukan RM7.5 juta, namun Kerajaan Negeri dengan sifat keprihatinan memperuntukkan RM2 juta untuk membayar tunggakan gaji kepada FAS,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada masa sama, Amirudin (PKR-Batu Caves) berkata, segala proses rombakan untuk FAS boleh dilaksanakan oleh ahli gabungan persatuan itu melalui mesyuarat agung biasa atau luar biasa.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh campur tangan untuk menentukan urusan FAS sebagai pengajaran daripada pengalaman negara lain seperti Cameroon dan Nigeria yang melanggar Artikel atau Fasal ke 17 Perlembagaan FAS.

esukan“Justeru, Kerajaan Negeri sangat prihatin dan berhati-hati tentang perkara ini, namun kita berharap proses pertukaran presiden yang dirancang FAS berlangsung dengan baik dan dalam masa beberapa hari lagi jawatan terbabit akan bertukar kepada Menteri Besar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hal ehwal pengurusan perlu diperbaiki dan mengambil pengalaman beberapa buah negara serta kelab terkemuka seperti Jepun juga Korea ketika mengulas berkenaan usaha meningkatkan prestasi pasukan bola sepak Selangor.

Katanya, penglibatan sains sukan juga perlu ditingkatkan bagi memastikan atlet dapat dikawal dari segi pemakanan dan pengambilan ubat-ubatan.

“Ini perkara yang sangat jarang dalam negara kita walaupun terdapat jabatan pembangunan sains sukan, namun atlet gagal dikawal oleh ‘sports scientist’ daripada segi pemakanan dan pengambilan ubatan sehingga berlaku masalah dopping seperti gambar Safee Sali yang didedahkan, baru-baru ini.

“Kita akan tekankan di masa depan untuk tingkatkan prestasi pemain,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.