Categories
SELANGOR

Jawatankuasa Induk Rumah Mampu Milik Selangorku percepat proses Kebenaran Merancang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Induk Rumah Mampu Milik Selangorku bagi membantu pemaju mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pada kadar segera.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata proses itu banyak membantu usaha Kerajaan Negeri menyediakan rumah mampu milik (RMM).

yb iskandar 1Katanya, ia seperti diumumkan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini dengan pemaju perlu mendapatkan KM segera bagi membangunkan projek itu.

“Dalam jawatankuasa induk, semua projek masuk dalam Pusat Semakan Setempat (OSC) pergi ke jawatankuasa induk terlebih dahulu.

“Kita panggil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi berkaitan supaya apabila ia masuk ke OSC, ia dapat diluluskan segera,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Iskandar memaklumkan jawatankuasa diwujudkan semalam itu dipengerusikan beliau dengan dianggotai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Jabatan Perancangan Bandar Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

“Manakala mesyuarat akan diadakan dua minggu sekali,” katanya.

Iskandar berkata, usaha itu adalah inisiatif pihaknya seperti mana diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan Selangor 2015.

“Kita memang hendak mencapai sasaran 15,000 kebenaran merancang dapat diluluskan atau mula dibina dalam tahun ini manakala akhirnya pada 2018, kita sasarkan dalam 35,000 kebenaran merancang.

“Usaha dilakukan ini adalah untuk mempercepatkan proses itu,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.